Laluan Sabah masih berliku
PENGENDALI Sabah FC, Martin Stano mengakui laluan The Rhinos masih berliku untuk mara ke pusingan seterusnya biarpun mengatasi Kuching City FC 1-0 dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Negeri.
Menurutnya, bekalan satu gol tersebut masih belum memadai dan Kuching City masih mampu melakukan kejutan dalam aksi timbal balik di Likas pada Isnin depan.
"Perlawanan malam ini cukup taktikal, fizikal dan emosi serta tidak mudah. Piala Malaysia adalah berbeza kerana ada timbal balik.
"Walaupun kami menang satu gol, tetapi peluang masih 50-50. Kami tidak ambil mudah untuk perlawanan kedua di Likas. Namun, komitmen pemain saya puji terutama daripada tonggak pasukan kebangsaan yang pulang untuk membantu pasukan," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, perlawanan berlangsung sengit dengan gol tunggal daripada Farhan Roslan pada minit ke-32 memisahkan kedua-dua pasukan.
Sementara itu, pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menyifatkan kesilapan dilakukan para pemainnya ketika menghadapi situasi bola mati menjadi punca kekalahan tersebut.
"Secara asasnya, kesilapan sama dilakukan seperti perlawanan terakhir ketika berdepan situasi bola mati. Sabah adalah pasukan kuat, tetapi kami berjaya mendominasi perlawanan.
"Kami berjaya menyerang mereka dalam keadaan kami ketinggalan, tetapi sudah tentu kami tidak boleh mengulangi perangai bolos daripada situasi bola mati.
"Namun, peluang masih belum tertutup dan saya yakin kami masih mampu untuk bangkit pada perlawanan kedua," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!