Lima lagi jangkitan Covid-19 di Singapura

Lima lagi kes jangkitan Covid-19 disahkan di Singapura menjadikan jumlah setakat ini 72. - Foto AFP
Lima lagi kes jangkitan Covid-19 disahkan di Singapura menjadikan jumlah setakat ini 72. - Foto AFP
A
A
A

SINGAPURA - Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura hari ini mengesahkan lima lagi kes jangkitan koronavirus (Covid-19) di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 72.

MOH dalam kenyataan memaklumkan kes positif baharu itu melibatkan tiga rakyat Singapura dan masing-masing seorang warga Bangladesh dan China yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China baru-baru ini.

Tiga daripada mereka dikaitkan dengan kluster di gereja The Grace Assembly of God, seorang kluster di tapak pembinaan Seletar Aerospace Heights dan satu lagi kes dikaitkan dengan kes sebelumnya.

Menurut MOH, sejumlah 18 kes telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan sudah dibenarkan keluar hospital.

Daripada 54 kes positif yang masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau semakin pulih manakala enam dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Setakat ini, lima kes dikaitkan dengan The Life Church and Missions Singapore di Paya Lebar Road; sembilan kes kepada kluster dikaitkan dengan kedai produk kesihatan Cina, Yong Thai Hang; tiga (mesyuarat perniagaan swasta di Grand Hyatt Singapura); dua (tapak pembinaan Seletar Aerospace Heights) dan dua lagi (Grace Assembly of God). - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!