Hentikan jenayah kejam daripada terus berlaku

Tahun 2024 mencatatkan pelbagai peristiwa tragis menggemparkan negara, termasuk jenayah kejam yang meragut nyawa empat individu antaranya Nur Farah Kartini, Istiqomah Ahmad Rozi dan Sabari Baharom.
Tahun 2024 mencatatkan pelbagai peristiwa tragis menggemparkan negara, termasuk jenayah kejam yang meragut nyawa empat individu antaranya Nur Farah Kartini, Istiqomah Ahmad Rozi dan Sabari Baharom.
A
A
A

DALAM tempoh 15 hari lagi dunia akan melangkah ke tahun baharu, 2025 dan pelbagai peristiwa sama ada yang baik atau sebaliknya, mewarnai negara kita.

Lembaran tahun 2024 bakal menjadi sejarah yang tidak akan dilupakan oleh mereka yang terlibat dalam peristiwa tragis, termasuk kepada masyarakat untuk menjadikannya sebagai iktibar dalam kehidupan.

Perkembangan teknologi khususnya aplikasi dalam talian yang semakin pesat penggunaannya menerima tamparan hebat apabila berita kematian pempengaruh, A Rajeswary atau lebih dikenali sebagai Esha menggegarkan negara.

Mangsa dilaporkan menerima tekanan buli siber, membuktikan dunia maya boleh menjadi medan ancaman baharu kepada masyarakat.

Mana tidaknya, ia mampu menjurus kepada perbuatan mengambil nyawa sendiri atau bunuh diri akibat tidak mampu menangani tekanan dan kecaman daripada warga maya terhadap individu terlibat.

Dalam kes tersebut, Esha ditemukan meninggal dunia di kondominium di Setapak pada 5 Julai lalu, sehari selepas membuat laporan polis berhubung gangguan buli siber yang dialaminya.

Tragedi menimpa wanita itu secara tidak langsung memberi pengajaran besar kepada masyarakat mengenai kesan buli siber yang tidak boleh dipandang remeh.

Kejadian itu juga menjadi pencetus kepada usaha kerajaan untuk menggubal Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian 2024 bagi mengekang jenayah siber yang mungkin berlaku pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan juga meminda Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, bertujuan memastikan ekosistem digital di negara ini bukan sahaja berkembang pesat, tetapi lebih selamat dan bebas daripada ancaman jenayah siber.

Selain itu kes pembunuhan kanak-kanak Orang Asli, Nuraina Humaira Rosli, 10, di Sungai Siput, Perak turut meruntun jiwa.

Mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan lembam pada awalnya dilaporkan hilang pada 16 Ogos sebelum mayatnya ditemukan di kawasan berpaya berdekatan kampungnya.

Hasil bedah siasat mendedahkan mangsa meninggal dunia akibat tekanan di leher serta terdapat kesan koyakan pada bahagian sulit, dipercayai dirogol sebelum dibunuh.

Daripada kisah ini menunjukkan jenayah tidak mengenal usia kerana kanak-kanak turut menjadi mangsa kepada kegilaan individu 'sakit otak'.

Turut mencuri tumpuan kes seorang guru, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang dilaporkan hilang di Pasir Gudang, Johor.

Harapan untuk menemukannya selamat hanya sekadar harapan apabila tubuhnya dijumpai dalam keadaan menyayat hati iaitu tanpa kepala dan tangan di dalam tong sampah yang dibuang ke dalam longkang di Alor Gajah, Melaka.

Selepas siasatan hampir tujuh bulan, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintenden, Ashari Abu Samah pada 12 Ogos lepas mengesahkan mayat adalah milik Istiqomah dan menahan sepasang suami isteri di Chemor, Perak yang dipercayai mengenali mangsa melalui urusan pelaburan mata wang asing (Forex).

Begitu juga dengan kes kehilangan seorang bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang mendapat perhatian masyarakat dan liputan meluas media tempatan.

Dilaporkan hilang pada 11 Julai 2024, mayatnya ditemukan lima hari kemudian di sebuah ladang kelapa sawit di Hulu Bernam, Selangor.

Seorang anggota polis berusia 26 tahun yang juga kenalan mangsa kemudian ditahan dan pada 26 Julai didakwa di Mahkamah Majistret Hulu Selangor atas pertuduhan membunuh.

Turut menarik perhatian pembunuhan kejam Sabari Baharom, 62, yang menambah satu lagi episod gelap tahun ini.

Pesara Felcra itu dilaporkan hilang di Baling, Kedah sejak 4 September dan disyaki dibunuh dengan cara dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Jitra, dalam keadaan tangan diikat serta mulut ditutup dengan pita pelekat.

Motif pembunuhan dipercayai samun dan pada 17 Oktober dua lelaki berusia 26 serta 38 tahun dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh, namun jasad pesara itu masih belum ditemukan sehingga kini.

Justeru timbul persoalan, adalah sifat perikemanusiaan semakin hilang dalam diri manusia?

Menjelang tahun 2025, diharapkan cerminan realiti yang dihadapi masyarakat hari ini tidak berulang di masa akan datang.

Letakkan noktah kepada setiap peristiwa, tragedi, jenayah ‘luar kotak fikiran’ yang berlaku sepanjang tahun ini agar tiada sambungan di tahun hadapan.

* Diana Azis ialah wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!