Lelaki kudung nafi guna ilmu hitam cabul 17 perempuan
JAKARTA - Seorang lelaki kudung kedua-dua tangannya yang kini berdepan tuduhan melakukan serangan seksual ke atas 17 perempuan menafikan dia menggunakan ilmu hitam.
Suspek, I Wayan Agus Suwartama alias Agus Buntung, 22, dari Kota Mataram, Nusa Tenggara Barat berkata, dia berani bersumpah di hadapan orang ramai bagi membuktikan dia tidak mengamalkan perbuatan tersebut.
"Saya bukan pengamal ilmu hitam, atau memanipulasi perempuan (yang dicabulnya) untuk taat dan patuh dengan kata-kata saya.
"Dalam isu ini, saya juga sanggup bersumpah depan khalayak ramai bagi menangkis tuduhan itu," katanya baru-baru ini, lapor TribunLombok.com.
Sementara itu, Pengarah Siasatan Jenayah Am Wilayah Nusa Tenggara Barat, Syarief Hidayat berkata, siasatan terhadap suspek kini menemui bukti baharu berupa rakaman video antara dia dan salah seorang mangsa.
Katanya, video yang berdurasi tiga minit itu merakamkan suara suspek yang cuba memujuk mangsa sebelum mencabul mereka.
"Rakaman video itu memaparkan modus operandi suspek cara mendekati mangsa, bukti ini merupakan elemen penting untuk dibawa dalam proses perundangan," katanya.
Difahamkan, suspek akan merayu kepada mangsa untuk ke inap desa sebelum dia melakukan perbuatan terkutuk berkenaan.
Sebelum itu, nama suspek menjadi tular selepas dia didakwa melakukan serangan seksual terhadap berbelas wanita meskipun kudung kedua-dua belah tangan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!