Hayati erti syukur
DARIPADA segi makna, bersyukur bermaksud menzahirkan rasa penghargaan atas sesuatu nikmat. Ia adalah satu manifestasi sikap merendah diri dan latihan menjauhkan diri daripada sifat sombong.
Sifat sombong telah menyebabkan iblis dikeluarkan dari syurga dan dilaknat oleh ALLAH SWT kerana enggan tunduk menyembah manusia pertama yang diciptakan iaitu Nabi Adam AS.
Iblis sombong kerana menganggap dirinya yang dicipta daripada api lebih baik daripada Nabi Adam AS yang dicipta daripada tanah. Kisah ini terkandung dalam al-Quran sebagaimana ayat berikut: “Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat, ‘Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam.’ Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.” (al-Baqarah 2: 34)
Bersyukur adalah sifat seorang hamba yang tunduk kepada Tuhannya. Ia menjadi benteng kepada sifat-sifat mazmumah yang lain seperti hasad dengki, mengadu domba, fitnah-menfitnah serta riak dan takbur. Seseorang yang bersyukur akan sentiasa mengingatkan dirinya serta orang di sekelilingnya untuk berbuat baik sesama insan.
Bercerita tentang syukur, saya terpanggil untuk berkongsi kisah sahabat saya, Ir Meor Shamsir yang telah menubuhkan Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan pada Jun 2015 sebagai satu manifestasi kesyukuran terhadap nikmat-nikmat yang telah dicurahkan ALLAH SWT kepada beliau.
Kebiasaannya, pada setiap hujung minggu di taman perumahannya akan ada golongan peminta sedekah datang mencari rezeki. Mereka ini ada yang regular dan ada yang tidak.
Pada awal tahun 2015, Ir Meor mula mencatat biodata warga asnaf yang datang ke rumahnya. Warga asnaf itu juga dihidangkan dengan makanan dan minuman sambil masalah mereka diceritakan kepada Ir Meor.
Permasalahan mereka ini dicatat dan jika boleh, dibantu. Beliau membantu sama ada melalui kudratnya sendiri atau melalui rakan-rakannya. Beliau juga memuat naik kisah-kisah kepayahan hidup warga asnaf ini ke medium sosial Facebook untuk renungan orang lain yang lebih bernasib baik. Penceritaan kisah-kisah inspirasi yang berkisar tentang kesyukuran ini dijadikan sebagai wadah dakwah bil hal beliau yang kadangnya menjadi tular serta berupaya meraih sumbangan orang ramai.
Sesi sebegini iaitu mendengar dan memberi makan kepada warga asnaf, meningkatkan rasa syukur dalam hati beliau. Setiap kali masalah warga asnaf ini didengar dan sebahagian permasalahan mereka diselesaikan akan timbul rasa bersyukur terhadap segala nikmat yang ALLAH SWT kurniakan.
Cukup
Rasa syukur itu menjadikan beliau berasa cukup dengan apa yang sedang dinikmatinya. Angan-angannya untuk lebih berjaya dalam kehidupan masih ada tetapi ia diiringi dengan perasaan cukup dengan apa yang ada.
Perasaan cukup itu menurut beliau membantu ke arah mendiamkan jiwa yang sentiasa gusar mengenangkan ujian dalam kehidupan. Rasa gusar hati inilah yang membelenggu kebanyakan manusia lantas mewujudkan persaingan yang tidak sihat.
Hingga hari ini, Kelab Asnaf masih berupaya meneruskan program kebajikan hasil daripada sumbangan orang ramai. Lapan puluh peratus kekuatan kewangan Kelab Asnaf datangnya daripada kaedah crowdfunding melalui medium Facebook.
Walaupun Ir Meor telah berjaya membantu begitu ramai warga asnaf, beliau tidak berhajat mengambil alih tugas pihak yang lebih berkuasa dan berkemampuan. Matlamat asal beliau adalah untuk mencari kaedah mensyukuri segala nikmat yang telah beliau rasai dengan niat dan harapan ALLAH tambahkan nikmat untuk dirinya nanti.
Semoga lebih ramai lagi individu seperti Ir Meor yang sanggup mengorbankan masa dan harta demi membantu mereka yang memerlukan sebagai cara menzahirkan kesyukuran kepada Tuhan yang Maha Esa.
* Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!