'Pindaan perlembagaan bukti PKR telus'
SHAH ALAM - Pindaan perlembagaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan keputusan tepat, membuktikan ketelusan dalam kepimpinan sekali gus selari amalan sistem demokrasi di Malaysia.
Pengarah Program Peningkatan Eksekutif Ghazali Shafie (GSEEP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, pengumuman pindaan yang dibuat adalah sesuatu yang bagus dan amat sesuai dilaksanakan.
Menurutnya, ia menunjukkan bahawa parti berkenaan masih mengamalkan musyawarah selain mengambil kira pandangan ahli dalam membuat keputusan.
“Bagus dan ia amat sesuai, ini yang dikatakan sistem demokrasi di mana pentadbiran PKR lebih kepada musyawarah, tidak memilih satu jawatan itu berdasarkan arahan daripada ketua namun bergantung kepada kredibiliti dan kepimpinan serta KPI (petunjuk prestasi utama).
“Ini juga menunjukkan ketelusan dalam kepimpinan, hal ini juga kita melihat rakyat tidak lagi dimomokkan dengan sistem pemilihan berdasarkan kepada arahan ketua iaitu diktator,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau berpandangan bahawa sistem demokrasi ini adalah cukup baik seperti yang diamalkan di Malaysia waima telah dipraktikkan sejak dahulu hingga kini di mana-mana sekalipun.
Mashitah juga menyifatkan pindaan itu merupakan tindakan bijak, membolehkan mereka tahu siapa yang akan diundi dan siapa yang mengundi.
“Mereka akan kenal siapa calon dan perwakilan mereka, jadi secara kesimpulannya, PKR masih amalkan sistem demokrasi, mereka boleh buat pilihan secara adil,” ulasnya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan PKR telah meminda perlembagaan parti itu dengan meningkatkan jumlah perwakilan yang akan mengundi bagi enam jawatan tertinggi parti serta 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Pindaan perlembagaan ini turut melibatkan prinsip penetapan kuota gender dan etnik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!