Lelaki melecur teruk ketika selamatkan diri dalam kebakaran
KOTA KINABALU - Seorang lelaki melecur teruk ketika menyelamatkan diri dalam kebakaran rumah flat di Taman Nelly Kolombong di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, Woo Chee Ke, 54, melecur sebanyak 80 peratus di bahagian badan dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.49 tengah malam.
Katanya, seramai 11 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh tiga kilometer dari BBP Lintas.
"Menurut komander operasi, kebakaran melibatkan sebuah rumah flat jenis kekal yang terbakar 20 peratus dan pasukan bomba bertindak menjalankan operasi memadam api dengan menggunakan sumber air dari tangki jentera.
"Dalam kejadian itu, terdapat penghuni yang berseorangan di rumah dan mangsa mengalami kecederaan parah iaitu melecur 80 peratus ketika cuba menyelamatkan diri dari kebakaran," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Katanya lagi, mangsa yang cedera segera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 1.42 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud di lokasi kejadian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!