Perselisihan faham punca pergaduhan sekumpulan lelaki

Perselisihan faham dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan lelaki di hadapan sebuah bangunan di Jalan Yap Kwan Seng di sini, pada Ahad. Gambar hiasan (Gambar kecil: Sulizmie Affendy)
Perselisihan faham dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan lelaki di hadapan sebuah bangunan di Jalan Yap Kwan Seng di sini, pada Ahad. Gambar hiasan (Gambar kecil: Sulizmie Affendy)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perselisihan faham dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan lelaki di hadapan sebuah bangunan di Jalan Yap Kwan Seng di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 4.03 pagi.

"Kejadian berlaku akibat salah faham di antara empat hingga lima orang lelaki sehingga salah seorang suspek mengambil tindakan melibas tangan mangsa dengan menggunakan pisau jenis lipat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa pertama mengalami kecederaan luka dan kesan kelar di bahagian lengan sebelah kiri.

"Mangsa kedua pula mengalami kecederaan kesan kelar di bahagian muka sebelah kiri dari kening hingga ke bibir.

"Manakala mangsa ketiga luka di bahagian kepala sebelah kanan dan menerima 10 jahitan," ujarnya.

Beliau berkata, kesemua mangsa telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.

"Polis telah menahan seramai lima suspek warga tempatan berusia 22 hingga 30 tahun bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Suspek akan direman hari ini (Selasa) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, pihak polis masih menjalankan siasatan berkaitan kes berkenaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!