Satu lagi gempa bumi lemah berlaku di Ranau
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Satu lagi gempa bumi lemah bermagnitud 3.1 pada skala Ritcher berlaku di Ranau menjadikan dua hari berturut-turut kawasan sekitar daerah tersebut dipercayai mengalami gegaran.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa bumi itu berlaku pada jam 10.01 pagi Selasa.
Pusat gempa itu dikedudukan 6 darjah Utara dan 116.6 darjah Timur dengan kedalaman 10 kilometer (km) iaitu di sekitar 14 km Barat Ranau.
Menurut kenyataan itu lagi, gegaran mungkin dirasai di sekitar Ranau dan MetMalaysia akan terus memantau keadaan tersebut.
Semalam, gempa bumi lemah bermagnitud 2.8 pada skala Richter dilaporkan berlaku di Ranau, pada jam 2.56 petang.
MetMalaysia dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, gempa bumi tersebut berlaku di 15 kilometer barat Ranau
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Talib berkata, pihaknya telah melakukan pemantauan di sekitar daerah tersebut susulan kejadian gempa bumi yang berlaku pada pagi Selasa.
"Rondaan dilakukan di sekitar kawasan Pekan Ranau melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau, SMK Mat Salleh dan SMK Kundasang.
"Hasil rondaan mendapati keadaan terkawal dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!