[VIDEO] Pulau Batu Puteh: Tiga menteri Kabinet berbohong, kata Tun M

A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tiga menteri Kabinetnya berbohong mengenai keputusan untuk menarik balik permohonan semakan dan tafsiran Pulau Batu Puteh.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau berasa malu mempunyai menteri Kabinet seperti mereka.

"Minit mesyuarat Kabinet yang bocor menunjukkan kenyataan dibuat oleh tiga menteri itu tidak benar dan bohong.

"Saya rasa malu kerana mereka ini duduk di dalam Kabinet saya ketika itu tetapi berbohong," katanya ketika ditemui pemberita selepas melepaskan Konvoi Misi Kemanusiaan Pasca Banjir di sini pada Selasa.

Sebelum ini, tiga menteri Kabinet terbabit iaitu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam kenyataan bersama mendakwa Dr Mahathir membuat keputusan tersebut secara bertulis kepada peguam cara negara tanpa merujuk Jemaah Menteri terlebih dahulu.

Bagaimanapun menerusi minit Kabinet yang diterima oleh Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan ia adalah keputusan bersama.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan telah menimbulkan polemik selepas ia mensyorkan siasatan jenayah terhadap Dr Mahathir boleh dimulakan mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan.

Ia susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Kabinet diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan semakan dan tafsiran Pulau Batu Puteh.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, sekiranya beliau disiasat, 13 menteri Kabinet pada tahun 2018 termasuk Wan Azizah, Mohamad dan Anthony juga perlu disiasat.

"Sepatutnya mereka dipanggil, ceritalah," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan sebarang keputusan yang dibuatnya adalah teratur dan mengikut prosedur.

“Dalam Kabinet ada 13 orang sebab kita baru tubuh.

"Saya berpendapat bahawa apa yang saya buat itu ikut peraturan tetapi mereka masih kata bukan Kabinet buat keputusan, yang buat keputusan (adalah) saya.

"Saya kalau hendak buat keputusan, saya tak katalah pendapat, saya akan kata kami sudah putuskan untuk tidak teruskan dengan kes ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!