MBSA sita tiga premis perniagaan langgar syarat
SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil tindakan sita terhadap tiga premis perniagaan dalam satu operasi dijalankan di sekitar Taman Tasik Seksyen 7 Shah Alam di sini.
Operasi bersepadu pelanggaran syarat sewa premis MBSA itu diketuai sepasukan anggota Jabatan Perlesenan dan Jabatan Penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan itu pada Selasa.
"Sebelum tindakan sitaan dibuat, MBSA telah mengeluarkan beberapa notis amaran, notis pindah halangan kepada penjaja yang terlibat bermula 2 Mac lalu.
"Namun notis amaran dikeluarkan itu gagal dipatuhi oleh penjaja," kata MBSA dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Selasa.
Terdahulu, operasi bersepadu itu turut disertai Pengarah Penguatkuasaan, Sahrul Nizam Ahmad dan Ketua Seksyen Penjaja, Nor Asnani Karim.
Dalam pada itu, MBSA turut mengingatkan penjaja untuk mematuhi syarat permit dan undang-undang ditetapkan.
"Tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang gagal mematuhi syarat permit penjaja dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak MBSA terutama di kawasan awam," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!