PLUS jangka 2.12 juta kenderaan sempena cuti Krismas, hujung tahun
PETALING JAYA - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lonjakan trafik sebanyak 14 peratus sehingga mencecah 2.12 juta kenderaan sehari berbanding 1.85 juta pada hari biasa sempena cuti perayaan Krismas dan hujung tahun bermula 20 Disember 2024 hingga 2 Januari 2025.
PLUS berkata, berikutan jangkaan trafik yang tinggi itu pihaknya menyarankan pengguna lebuh raya merancang perjalanan lebih awal dan mendapatkan jadual perjalanan secara digital sepanjang tempoh tersebut menerusi MyPLUS-TTA.
“Jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA di dalam Aplikasi PLUS ini adalah untuk memberi kemudahan kepada orang ramai untuk merancang perjalanan di samping membantu mengagihkan trafik bagi perjalanan yang lebih lancar dan selesa.
“Pada masa sama, ia juga bertujuan untuk mengelakkan kenderaan terkumpul di satu-satu lokasi di lebuh raya secara serentak dan kemungkinan terperangkap di dalam kesesakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
PLUS memaklumkan, pada masa yang sama, pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi aplikasi PLUS, Pembantu Maya (PUTRI), aplikasi X@plustrafik, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih atau menerusi saluran stesen radio utama negara.
Menurutnya, orang ramai juga boleh menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.
“Kami juga menasihatkan supaya menggunakan aplikasi PLUS, aplikasi Waze atau Google Maps untuk merancang dan mendapatkan status trafik semasa pada musim perayaan ini.
“PLUS mengucapkan Selamat Hari Krismas dan Tahun Baharu kepada semua pengguna lebuh raya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!