Juruhebah Pahang FM meninggal dunia akibat serangan jantung

Dj Amie meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamannya di Kuarters Perguruan Bukit Goh pada pagi Selasa. Foto Ihsan Nurul Ain Sujaihah
Dj Amie meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamannya di Kuarters Perguruan Bukit Goh pada pagi Selasa. Foto Ihsan Nurul Ain Sujaihah
A
A
A

KUANTAN - Juruhebah Pahang FM, Amin Nasarudin Tee Abdullah, meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamannya di Kuarters Perguruan Bukit Goh, kira-kira jam 5 pagi, Selasa.

Berita kematian Amin Nasarudin atau lebih dikenali sebagai DJ Amiey, 54, dikongsikan Penerbit Rancangan Pahang FM, Nurul Ain Sujaihah Mohd ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, DJ Amie merupakan seorang penyampai berbakat besar yang dikenali dengan sifat mesra, budi bahasa, dan keprihatinannya terhadap masyarakat.

“Pemergian beliau merupakan kehilangan besar buat kami. Allahyarham banyak memberikan sumbangan besar kepada Pahang FM menerusi segmen Apa Khabar Weh.

"Malah, Allahyarham telah mencetuskan inspirasi kepada generasi muda dengan gaya penyampaian yang unik menggunakan loghat Pahang, menjadikan beliau sebagai pelopor dalam memperkenalkan keunikan budaya tempatan di platform radio," katanya.

Dj Amie yang dilahirkan di Kota Gelanggi, Jerantut, meninggalkan seorang isteri dan tiga anak berusia antara 11 hingga 16 tahun.

Allahyarham sebelum ini pernah bertugas sebagai juruhebah Manis FM dan kemudiannya berpindah ke Pahang FM pada tahun 2018.

Jenazah Allahyarham telah dikafan dan disolatkan di Masjid Sultan Ahmad Shah, Felda Bukit Goh, Kuantan, sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Kampung Merkang, Pasir Putih, Kelantan untuk dikebumikan.

Artikel Berkaitan:

Nurul Ain Sujaihah turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergiannya.

"Semalam (Isnin) Allahyarham sempat mengendali segmen 'Inspirasi' di konti Pahang FM sehingga jam 12 malam tadi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!