Pengurus syarikat direman disyaki minta suapan jual gelaran Datuk Seri
MELAKA - Pengurus syarikat direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Isnin kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM375,000 daripada seorang individu bagi mendapatkan gelaran Datuk Seri dari sebuah negeri dua tahun lalu.
Perintah reman bermula Selasa hingga Khamis ini dikeluarkan oleh Majistret Nabilah Nizam terhadap suspek berusia 54 tahun itu.
Terdahulu, suspek ditahan SPRM kira-kira jam 5.10 petang semalam di Pejabat SPRM Melaka ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Dia yang memakai pakaian lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Melaka di sini, kira-kira jam 9 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.
"Suspek ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(a)(A) SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!