Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merangkap pemangku Menteri Pendidikan mempunyai alasan tersendiri untuk memperkenalkan kembali Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah.
Telah terdengar kembali suara sumbang: “Anak-anak kita ni jadi bahan tabung uji ke?” Masing-masing mempunyai hujah tersendiri sama ada menyokong atau menolak.
Perkara itu memang diduga kerana beliau ialah pencetus idea PPSMI ketika diperkenalkan dahulu. Kemudian diberhentikan dan akan diperkenalkan kembali untuk merealisasikan wawasan dalam bidang pendidikan.
Bagaimanapun cadangan itu mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk pejuang bahasa dan budaya yang menolak sebarang usaha mengembalikan PPSMI. Antara hujahnya ialah usaha itu menafikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Kenapa perlu mengagungkan bahasa lain sedangkan kita mampu melakukan wadah pendidikan mengikut acuan sendiri.
Contohnya Universiti Kebangsaan Malaysia mampu muncul sebagai universiti tersohor di Malaysia dan antarabangsa walaupun medium pengajarannya dalam Bahasa Melayu. Negara Jepun, Korea, China dan Jerman, malah Indonesia masih lagi menjadikan medium bahasa ibunda sebagai medium dalam pelajaran dan pengajaran.
Sebenarnya Dasar PPSMI pertama kali diperkenalkan pada tahun 2003 dan pada tahun 2015 kerajaan memperkenalkan program dwibahasa (DLP) di sekolah dengan tujuan menyokong penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris.
Cadangan PPSMI ingin dihidupkan kembali kerana Dr Mahathir merasakan pencapaian dan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah masih rendah.
Tidak setuju
Namun, Majlis Profesor Negara (MPN) menyifatkan PPSMI sebelum ini sebagai gagal. MPN melakukan tinjauan terhadap seramai 560 profesor, mendapati 57 peratus profesor tidak setuju PPSMI diperkenalkan semula.
Hujahan itu ada kebenarannya. Jika tujuan mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan kualiti dan masa pengajaran dalam pelajaran berkenaan. Bukannya ‘diserap’ dalam subjek Sains dan Matematik. Perkara itu tidak boleh diambil mudah kerana profesor yang sememangnya pemikir dan cerdik pandai dalam bidang pendidikan.
MPN juga terpanggil untuk menyumbangkan pandangan agar corak dan acuan pendidikan pada masa akan datang berada di landasan yang lebih tersusun dan berstrategik.
Untuk rekod, laporan sebelum ini menunjukkan ramai pelajar yang kurang menguasai bahasa Inggeris menyebabkan mereka juga gagal dan tidak mencapai tahap yang memuaskan dalam subjek Sains dan Matematik. Lebih-lebih lagi pelajar luar bandar. Ia melebarkan jurang luar bandar-bandar dalam bidang pendidikan dan lainnya.
Ia kemudian digantikan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) mulai tahun 2009. Pengajaran subjek Sains dan Matematik dibuat dalam bahasa Melayu dan memudahkan pemahaman subjek berkenaan.
Andai kerajaan ada formula dan pendekatan baharu, ia perlu disokong.
Malah, MPN sewajarnya diajak memberikan pandangan sebagai pemikir negara dalam soal pendidikan.
Namun keutamaan Perdana Menteri kepada usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan graduan harus diberi keutamaan. Bagaimanapun cadangan memperkenalkan kembali PPSMI belum dimuktamadkan. Cadangan itu akan diangkat ke pengurusan tertinggi dan keputusan akan dibuat berdasarkan pendapat majoriti anggota Kabinet.
* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!