Nur Soleeha Sorfina sudah pulang ke rumah
MARAN - Remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Taman Sri Inderapura di sini Ahad lalu telah pulang ke rumah pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, Nur Soleeha Sorfina Zabri dipercayai pulang sendiri jam 10.30 malam.
Menurutnya, setakat ini polis belum menerima laporan rasmi berhubung kepulangan gadis itu daripada pihak keluarga.
"Remaja berkenaan akan dipanggil untuk membantu siasatan bagi mengenal pasti punca dia bertindak demikian," katanya ketika ditemui selepas program Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Simulasi Gemparan m 2024 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di Balai Polis Gebeng di sini pada Selasa.
Wan Mohd Zahari berkata, berdasarkan keterangan keluarga, gadis yang sudah tidak bersekolah itu difahamkan pernah keluar rumah dan tidak balik kerana mengikut kenalan.
Sebelum ini, polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan remaja perempuan itu yang dilaporkan hilang di sini pada Ahad.
Kehilangan Nur Soleeha Sorfina Zabri dilaporkan ibunya pada hari yang sama selepas remaja itu disedari tiada di dalam bilik di rumahnya di Taman Sri Inderapura di sini kira-kira jam 3 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!