Aktivis gagal rayu mulakan pendakwaan terhadap Firdaus Wong, Zamri Vinoth

Shashi (tiga dari kiri) hadir ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Selasa bagi keputusan rayuannya untuk memulakan pendakwaan peribadi terhadap dua pendakwah Zamri Vinoth Kdan Firdaus Wong.
Shashi (tiga dari kiri) hadir ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Selasa bagi keputusan rayuannya untuk memulakan pendakwaan peribadi terhadap dua pendakwah Zamri Vinoth Kdan Firdaus Wong.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa, menolak rayuan aktivis, S Shashi Kumar untuk memulakan pendakwaan persendirian terhadap dua pendakwah iaitu Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu dan Firdaus Wong Wan Hung yang didakwa menghina agama dan amalan orang bukan Islam.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara memutuskan bahawa, Shashi yang juga Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global itu selaku perayu, gagal menunjukkan terdapat kekhilafan nyata di pihak Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam Dr Wendy Ooi Su Ghee yang menolak kedua-dua rayuannya.

“Kami mendapati keputusan Mahkamah Majistret menolak permohonan perayu dan tidak meneruskan dengan pemeriksaan perayu dalam kes ini adalah tindakan tepat dan tidak terkhilaf.

“Mahkamah ini mendapati kedua-dua rayuan tidak bermerit, maka permohonan perayu ditolak,” katanya yang bersidang bersama Hakim-hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Mohamed Zaini Mazlan.

Susulan itu Ahmad Zaidi berkata, keputusan Mahkamah Majistret pada 3 September 2021, kemudian disahkan Mahkamah Tinggi 2 Ogos 2022, dikekalkan.

Ketika prosiding di sini, pihak pendakwaan memaklumkan, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap kedua-duanya.

Shashi memfailkan aduan untuk memulakan pendakwaan tertutup terhadap dua mualaf itu kerana menghina agama bukan Islam, di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 8 Januari 2021.

Pada 3 September 2021, Majistret, Mohamad Redza Azhar Rezali menolak permohonan berkenaan, atas alasan siasatan polis terhadap Zamri diletakkan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) sementara siasatan Firdaus terhadap masih diteruskan.

Artikel Berkaitan:

Pada 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan keputusan menolak permohonan itu.

Sebelum ini, pihak polis menyiasat kedua-dua pendakwah itu mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan permusuhan antara kumpulan berbeza atas alasan agama atau kaum.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sekurang-kurangnya dua tahun, dengan tempoh tahanan maksimum lima tahun.

Shashi dalam akuan berkanunnya (SD) berkata, dia membuat laporan polis terhadap Firdaus pada Januari 2018 selepas mendakwa melihat beberapa hantaran di media sosial.

Shashi mendakwa, polis tidak menjawab pertanyaannya mengenai status laporan terhadap dua pendakwah itu.

Firdaus ialah presiden dan pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM), manakala Zamri ialah presiden Angkatan Skuad Mubaligh Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia.

Shashi diwakili peguam, S Ravichandran, manakala pendakwaan selaku responden, dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Solehah Noratikah Ismail.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!