Peniaga rugi lebih RM50,000 terpedaya 'job scam' dalam talian
KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga kerugian RM55,204 selepas terperdaya dengan penipuan pekerjaan dalam talian, pada 9 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, wanita berusia 32 tahun itu telah melayari sebuah laman web untuk mendaftar kerja sambilan ketika berada di rumahnya kira-kira jam 9.30 pagi.
"Mangsa yang tertarik telah menghubungi seorang indiv di Telegram dan diminta mengisi maklumat bank serta memindahkan wang sebanyak RM30 ke akaun sebuah bank atas alasan pendaftaran.
"Kemudian mangsa telah menerima komisen sebanyak RM50. Tugasan kedua pula mangsa diminta membuat satu lagi transaksi sebanyak RM200 ke akaun yang sama dan selepas menyelesaikan tugasan itu, mangsa mendapat komisen sebanyak RM270.
"Bagi tugasan ketiga pula, mangsa diminta membuat transaksi sebanyak RM7,500 ke dalam akaun yang sama dan akan memperolehi komisen sebanyak RM13,250 namun komisen tersebut tidak diperoleh sehingga kini," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Azli berkata, mangsa juga diminta menekan pautan link di Telegram dan dimaklumkan mendapat barangan paling mahal selain turut mendapat komisen dan bonus berjumlah RM44,995.
Beliau menambah mangsa tidak berjaya membuat pengeluaran tersebut kerana suspek memaklumkan penyelesaian tugasan tersebut telah tamat tempoh.
Justeru, Azli menyatakan suspek meminta mangsa membuat pemulangan tugas kepada pihak atasan dengan melakukan transaksi wang ke beberapa akaun bank berbeza.
"Bermula 9 hingga 12 Disember lalu, mangsa telah melakukan sembilan transaksi pemindahan wang ke akaun berbeza berjumlah RM55,204," ujarnya.
Bagaimanapun Azli berkata, sehingga kini mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan.
"Mangsa berasa tertipu telah membuat laporan polis pada Ahad lalu. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!