Thaksin bermasalah, kata Tun M
PUTRAJAYA - Terdapat ramai tokoh ASEAN yang boleh dilantik Malaysia sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 berbanding bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra.
Bagaimanapun bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, lantikan tersebut merupakan hak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Itu dia (Anwar) punya hal lah dia hendak buat apa, saya tidak tahu sebab apa (pilih Thaksin).
"Thaksin pun ada masalah tapi saya tidak mahu tegurlah. Itu hak Anwar nak pilih siapa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelepasan Konvoi Misi Kemanusiaan Pasca Banjir di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada Selasa.
Anwar dilapor berkata, Malaysia memerlukan negarawan seperti Thaksin untuk berkongsi kepakaran serta idea kepada Pengerusi ASEAN berkenaan isu serantau.
Thaksin,75, digulingkan melalui rampasan kuasa tentera pada tahun 2006 selepas berdepan dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.
Selepas disabitkan kesalahan pada tahun 2008, beliau melarikan diri ke luar negara untuk mengelak hukuman penjara.
Pada Ogos 2023, Thaksin kembali ke Thailand selepas 15 tahun dalam buangan, ditahan dan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun namun kemudian menerima pengampunan diraja yang mengurangkan hukumannya kepada setahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!