[VIDEO] Bakal pengantin dituduh langgar dua remaja hingga mati
MELAKA - Seorang bakal pengantin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas pertuduhan memandu kereta menyebabkan kemalangan dan kematian dua remaja pada Disember tahun lalu.
Tertuduh, S Vinudharan, 26, yang juga merupakan pemandu lori membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kenderaan secara berbahaya di atas jalan raya sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian kepada Erwan Idris, 16, dan Putra Norsyaqir, 16.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Krubong Permai, di sini, kira-kira jam 9.53 malam, pada 24 Disember tahun lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan 1999) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan sebanyak RM16,000 ke atas tertuduh.
Bagaimanapun peguam MX Koh merayu hukuman diringankan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pemandu lori di pasar borong dengan gaji RM60 sehari, selain membantu bapanya yang bekerja sebagai jurujual menyara keluarga.
Hujahnya lagi, tertuduh turut menyara adiknya berusia 19 tahun yang masih belajar di Kolej Yayasan Melaka (KYM).
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM6,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Januari depan bagi sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!