BNM lantik semula tiga ahli Majlis Penasihat Shariah

BNM mengumumkan pelantikan semula tiga ahli Majlis Penasihat Syariah (MPS) pada Selasa.
BNM mengumumkan pelantikan semula tiga ahli Majlis Penasihat Syariah (MPS) pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan semula tiga ahli Majlis Penasihat Shariah (MPS) berkuat kuasa November 2024 dan Januari 2025.

Individu tersebut ialah Mufti Selangor, Datuk Setia Profesor Madya Dr Anhar Opir yang dilantik bermula 1 November 2024 hingga 31 Oktober 2026; Ketua Pengurusan Syariah Permodalan Nasional Berhad, Dr Ahmad Basri Ibrahim (1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027) dan Timbalan Presiden Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Dr Marjan Muhammad (1 November 2024 hingga 31 Oktober 2027).

Bank Negara dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu dibuat menurut Seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Menurutnya, pelantikan semula itu menjadikan MPS dibarisi tujuh orang ahli yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang syariah, kewangan Islam dan undang-undang.

"BNM juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Mohd Zawawi Salleh dan Zainal Abidin Jamal atas sumbangan yang tidak ternilai semasa tempoh perkhidmatan mereka.

"Mohd Zawawi akan melengkapkan tempoh perkhidmatan beliau sebagai ahli MPS pada 31 Disember 2024, sementara Zainal telah menyempurnakan tempoh perkhidmatan beliau pada 31 Oktober 2024.

"Kedua-duanya telah memberikan sumbangan besar kepada perbincangan MPS dan keseluruhan pembangunan kewangan Islam di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah kenyataan itu, MPS merupakan badan berautoriti tertinggi bagi menentukan hukum syarak berhubung dengan perniagaan kewangan Islam di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ia juga berfungsi sebagai penasihat kepada BNM mengenai sebarang isu syariah yang berkaitan dengan perniagaan, aktiviti atau transaksi kewangan Islam.

"Keputusan syariah yang dibuat oleh MPS menjadi sumber rujukan institusi kewangan Islam bagi memastikan operasi perniagaan mereka mematuhi prinsip syariah.

"Selain itu, keputusan MPS juga boleh digunakan sebagai rujukan mahkamah dan penimbang tara.

"Oleh itu, MPS memainkan peranan yang penting untuk menggalakkan kepastian amalan syariah serta mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap industri kewangan Islam," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!