Penjara 20 tahun tidak cukup berat
SHAH ALAM - Pakar perundangan berpendapat bahawa kerajaan harus mempertimbangkan cadangan membatalkan lesen memandu selain meningkatkan hukuman penjara 20 tahun kepada pesalah pemandu mabuk yang menyebabkan kematian terhadap pengguna jalan raya lain.
Presiden Pertubuhan Pengamal Undang-undang Hak Asasi Manusia Malaysia (ProGuam), Noorazmir Zakaria berkata, hukuman berat itu harus diberikan kepada pesalah kerana kesalahan yang dilakukan melibatkan nyawa pengguna lain.
“ProGuam mencadangkan agar hukuman bagi kesalahan sebegini turut diberatkan kepada membatalkan lesen memandu pesalah terbabit secara mandatori kerana kesalahan yang melibatkan kematian sebegini tidak harus di kompromi sama sekali,” katanya kepada Sinar Harian.
Laporan khas Sinar Harian baru-baru ini melaporkan gesaan pelbagai pihak yang meminta hukuman lebih berat ke atas pemandu mabuk yang ‘menggila’ di jalan raya termasuk hukuman 20 tahun dan menggantung lesen memandu seumur hidup.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu mabuk perlu bayar pampasan kepada keluarga mangsa
Pemandu mabuk: Penjara 20 tahun, gantung lesen seumur hidup
Pemandu mabuk akan dijel 20 tahun, denda RM100,000: Guan Eng
Dalam reaksi segera kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong berkata, secara prinsipnya kerajaan sudah bersetuju untuk menaikkan tempoh hukuman penjara pemandu mabuk kepada 20 tahun.
Menyambut baik cadangan kerajaan yang bersetuju cadangan berkenaan, Noorazmir berkata, pindaan kali terakhir yang dibuat oleh kerajaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 berhubung kesalahan memandu secara mabuk ini adalah pada tahun 1999 di mana hukuman bagi pesalah yang memandu secara mabuk dan menyebabkan kematian menurut Seksyen 44 adalah denda RM10,000 dan penjara sehingga 12 bulan sahaja.
“Namun, terbukti bahawa pindaan hukuman pada 1999 ini tidak mampu untuk meredakan kebimbangan orang awam apabila kes-kes kematian disebabkan pemandu mabuk ini terus meningkat.
“Oleh itu, inisiatif kerajaan kini untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 khususnya pada Seksyen 41, 44 dan 45 adalah langkah terbaik dan belum terlambat bagi memastikan kematian mangsa tidak bersalah akibat pemandu mabuk ini dapat dicegah,” katanya.
Sementara itu bagi Pensyarah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Zuraini Ab Hamid, beliau mencadangkan agar lesen pesalah digantung dalam tempoh dari lima ke10 tahun.
Menurutnya, pencegahan yang paling berkesan adalah melalui penguatkuasaan undang-undang yang lebih berat kerana telah terbukti yang masyarakat atau pesalah tidak belajar daripada hukuman tidak berat yang dilaksanakan sekarang.
“Hukuman berat juga akan memastikan keselamatan awam terjaga dan dapat memberikan pembelaan yang adil kepada keluarga mangsa yang telah kehilangan orang tersayang.
“Peruntukan hukuman yang bakal dipinda juga bukan saja harus bersifat mendidik tapi harus bersifat menghukum pesalah kerana pesalah tidak bertanggungjawab,” katanya.
Tegas Zuraini, beliau merasakan hukuman di bawah Seksyen 41 dan Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ1987) adalah terlalu ringan.
Kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk bukan hanya berlaku di Malaysia malah banyak negara dalam dunia turut berdepan dengan masalah sama sehingga ada mencadangkan hukuman mati kepada pemandu mabuk.
Taiwan misalnya pada Mac tahun lepas merancang untuk melaksanakan hukuman mati terhadap pesalah yang menyebabkan kemalangan maut ketika memandu dalam keadaan mabuk. Berdasarkan laporan pesalah mabuk sebelum ini boleh dikenakan hukuman penjara hingga 10 tahun di Taiwan.
Selain Taiwan, beberapa negara lain turut mempunyai cara tersendiri menghukum pemandu mabuk dan lazimnya ia melibatkan denda, penjara malah hukuman yang agak unik juga.
Di Vietnam bermula 1 Januari lalu, penunggang motosikal dalam keadaan mabuk boleh dikenakan denda sehingga 8 juta Vietnam Dong (RM1,423) selain boleh digantung lesen selama dua tahun.
Bagi pemandu kereta, denda boleh mencapai 40 juta Vietnam dong (RM7,000) dan lesen digantung. Keputusan drastik kerajaan Vietnam itu menyebabkan industri penjualan arak merudum dan ramai penjual merungut hasil jualan mereka jauh berkurang.
Undang-undang Singapura pula menetapkan pesalah kali pertama dikenakan denda RM20,500 (AS$5,000) atau penjara enam bulan. Bagi kesalahan kedua, denda dan tempoh penjara boleh meningkat 500 kali ganda.
Negara Islam sememangnya mengharamkan arak dan bagi negara-negara Arab seperti Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi, pemandu mabuk bukan sahaja boleh dipenjara, didenda malah disebat di khalayak ramai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!