Cadang tabung kecemasan bantu permudah tuntut jenazah di hospital
SHAH ALAM - Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari mencadangkan ditubuhkan tabung kecemasan untuk tuntutan jenazah di hospital.
Beliau berkata, dana itu boleh digunakan untuk kes seperti jenazah bayi lelaki yang disimpan dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang disebabkan isu tunggakan bil.
Menurutnya, selain kes tersebut pihaknya turut menerima kes sama membabitkan masalah tuntutan jenazah disebabkan bil mencecah RM1, 900.
"Jika kes ini berulang, adakah pihak hospital boleh sedia satu dana seperti khairat kematian bagi yang tidak mampu bayar bil kerana ia menjadi fardu kifayah untuk menyegerakan pengurusan jenazah.
"Bagi kuasa zakat di bawah negeri, boleh diwujudkan tabung dana khas yang boleh digunakan penerima bantuan bagi kes kecemasan sama," katanya mengulas perkembangan kes jenazah bayi lelaki yang disimpan dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang.
Beliau berpandangan, cadangan tersebut mungkin boleh dijadikan polisi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di hospital kerajaan dan swasta.
Katanya, tabung itu juga boleh diuruskan bersama pihak hospital dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Anfaal ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan FutureLab di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Selasa.
Isnin lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan, seramai lima orang sudah dirakam percakapan berhubung kes tular itu.
Mereka terdiri ibu bapa bayi berkenaan, dua doktor dan terbaharu rakan kepada pasangan itu yang menghantar wanita terbabit ke hospital.
Anfaal berkata, kerajaan negeri sentiasa mengikuti perkembangan kes tersebut namun ketika ini menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.
"Seawal kejadian berlaku, kita cuba hubungi keluarga tetapi dalam keadaan tekanan dan kes mendapat perhatian ramai, mereka belum bersedia untuk ditemui.
"Kerajaan negeri masih menunggu maklumat sahih daripada siasatan pihak berwajib dan memastikan semua maklumat tepat disusuli tindakan lanjut kaunseling selepas pihak polis dan JKM memberi akses laporan itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!