[VIDEO] Hujjan tarikan baharu Perkampungan Konservasi Gajah Tasik Kenyir
HULU TERENGGANU - Seekor anak gajah berusia tiga bulan menjadi tarikan baharu di pusat perlindungan dan pemuliharaan, Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV) di sini.
Dinamakan sebagai Hujjan, anak gajah betina seberat 69.6 kilogram (kg) ketika dilahirkan jam 12.15 tengah malam pada 26 September lalu, kini sudah mencecah lebih 70 kg.
Menurut Pengarah Urusan, S Bina Management Sdn Bhd yang bertanggungjawab mengelola dan menyelia KECV, Ang Ching Yang, anak gajah dilahirkan dalam pusat jagaan jarang ditemui di seluruh dunia, dan hanya beberapa kes dilaporkan sebelum ini di Malaysia.
"Ketika proses melahirkan Hujjan, ibunya, Dusun telah bertempik dengan dengan begitu kuat termasuk 17 ekor gajah-gajah lain yang berada di pusat konservasi ini turut mengeluarkan bunyi yang sama.
"Dalam hujan lebat, kami nampak Dusun telah mula melahirkan anak. Jadi saya bersama pasukan saya segera menolong melancarkan proses kelahiran tersebut.
"Sebab itulah anak gajah ini diberikan nama sebagai Hujjan, kerana ia dilahirkan dalam cuaca hujan lebat dan nama ini sendiri diberikan oleh Datuk Ustaz Fauzi, dari Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM)," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, pada Selasa.
Ching Yang berkata, proses kelahiran Hujjan memakan masa selama 2 jam 30 minit bagi memastikan ia dibersihkan, dapat berdiri dan seterusnya menyusu.
"Lazimnya, apabila seekor anak gajah dilahirkan, ia tidak boleh berdiri sendiri. Jadi, si ibu akan menggunakan belalai atau dengan cara lain bagi membolehkan anak gajah itu berdiri serta membuang selaput yang ada pada badannya.
"Ketika proses kelahiran Hujjan, kami bantu lancarkan proses tersebut, selepas ia dapat berdiri kita segera pulangkan kepada si ibunya
"Selepas tujuh jam baru Dusun boleh menyusukan Hujjan dan sehingga ke hari ini, kita bersyukur kerana kedua-duanya sihat," ujar Ching Yang.
Jelasnya lagi, seekor anak gajah akan menyusu selama dua jam dan berehat selama dua jam.
"Untuk kitaran hidup gajah betina juga, ia akan bunting selama dua tahun, menyusukan anak dua tahun, dan si ibu perlukan rehat selama lima tahun sebelum bunting lagi.
"Bagaimanapun, jika anak pertama yang dilahirkan menjadi makanan haiwa pemangsa terutama harimau belang, si ibu tidak akan bunting lagi seumur hidupnya.
"Dalam seumur hidup gajah hanya boleh bunting sebanyak empat kali sahaja, sebab itulah ia telah diisytiharkan sebagai haiwan terakhir oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) pada 2008," ujarnya
Mengulas mengenai sumber pemakanan gajah, katanya diet bagi setiap gajah berbeza mengikut usia dan antara makanan kegemaran haiwan itu antaranya rumput napier, daun nanas serta betik dan ubi.
"Untuk gajah berusia 5 hingga 10 tahun, ia memerlukan 100 kg sehari makanan 10 hingga 20 tahun (150 kg) dan 20 tahun ke atas (150 kg hingga 200 kg).
"Bagi 17 ekor gajah dewasa yang ada di KECV, kita memerlukan 130 tan makanan dalam sebulan dengan kos RM148,000," katanya.
KECV yang berkeluasan 256 hektar dibina pada 2012 dan merupakan antara tarikan besar di Tasik Kenyir.
Terdapat hanya 10 peratus daripada kawasan itu dibangunkan untuk dijadikan santuari gajah manakala baki 90 peratus kawasan itu tidak disentuh bagi memelihara alam semula jadinya.
Kebanyakan gajah ditempatkan di KECV adalah gajah tempatan, ada dalam kumpulannya terkorban akibat pemerdagangan gading selain ada yang ditangkap kerana memusnahkan tanaman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!