JTK buka lapan kertas siasatan majikan lewat bayar gaji

JTK membuka lapan kertas siasatan terhadap majikan dan penyedia penginapan atas kesalahan kelewatan membayar gaji, bayaran gaji secara tunai dan penginapan yang tidak mempunyai perakuan.
JTK membuka lapan kertas siasatan terhadap majikan dan penyedia penginapan atas kesalahan kelewatan membayar gaji, bayaran gaji secara tunai dan penginapan yang tidak mempunyai perakuan.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Tenaga Kerja (JTK) membuka lapan kertas siasatan terhadap majikan dan penyedia penginapan atas kesalahan kelewatan membayar gaji, bayaran gaji secara tunai dan penginapan yang tidak mempunyai perakuan.

JTK dalam kenyataan berkata, tuntutan kes buruh dibuat pada hujung bulan November 2024 melibatkan 57 pekerja warganegara Bangladesh terhadap pihak syarikat berjumlah RM806,310.

Menurutnya, satu rundingan melibatkan JTK, wakil kedutaan Bangladesh dan pihak syarikat diadakan pada 14 Disember 2024 tetapi menemui jalan buntu.

"Pihak syarikat telah mengemukakan cadangan bayaran gaji tertunggak kepada pekerja secara ansurans sehingga September 2025 dan mendapat bantahan daripada pihak pekerja yang bertegas menuntut agar gaji mereka dibayar sepenuhnya pada hujung tahun ini.

"Perbincangan lanjut akan diadakan pada 17 Disember 2024 berkenaan proses pertukaran dengan majikan baharu yang akan ditentukan kelak di bawah program Pertukaran Majikan Khas (PTM).

"Program ini melibatkan seramai 204 orang pekerja asing yang mempunyai permit sah," katanya pada Selasa.

Pada September 2024, JTK menerima maklumat secara tidak rasmi daripada pekerja syarikat itu berhubung isu melibatkan pembayaran gaji pekerja, bayaran kerja lebih masa dan juga penginapan yang tidak kondusif.

Tambah kenyataan itu, pejabat Tenaga Kerja Pelabuhan Klang telah menjalankan siasatan dan mendapati isu yang diketengahkan adalah berasas.

Artikel Berkaitan:

"Pihak pekerja dinasihatkan untuk memfailkan tuntutan kes buruh terhadap syarikat.

"Jabatan Tenaga Kerja akan memastikan isu yang dihadapi oleh para pekerja syarikat ditangani seadilnya dan kebajikan para pekerja ini terbela," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!