Air pasang besar: Peniaga, penduduk teruskan aktiviti harian

Penduduk berjalan kaki meredah laluan yang dinaiki air akibat kejadian air pasang besar pada pagi Selasa.
Penduduk berjalan kaki meredah laluan yang dinaiki air akibat kejadian air pasang besar pada pagi Selasa.
A
A
A

PONTIAN - Peniaga dan orang ramai tetap meneruskan aktiviti harian termasuk berniaga ketika air pasang besar melanda beberapa kawasan di daerah ini.

Fenomena air pasang hingga setinggi 3.5 meter (m) itu menyebabkan laluan masuk ke Pekan Kukup dinaiki air dan limpahan air terjadi di Taman Negara Johor Tanjung Piai pada pagi Selasa.

Penduduk Kampung Melayu Kukup, Iskandar Ahmad Ramli, 50, berkata, fenomena bermula pada kira-kira jam 11 pagi.

Katanya, penduduk dari beberapa kampung di Pekan Kukup sudah membuat persediaan awal dengan mengalihkan kenderaan serta barangan lain ke tempat lebih selamat.

"Air pasang kali ini mencecah paras setinggi 3.5m. Hari ini merupakan hari ketiga air pasang besar berlaku sejak Ahad.

"Setakat ini, air tidak melimpah ke dalam rumah, tetapi tetap berjaga-jaga bimbang jika hujan keadaan akan jadi lebih teruk," katanya.

Iskandar berkata, peniaga di Pekan Kukup tetap menjalankan perniagaan dan kawasan terbabit masih dikunjungi pengunjung luar termasuk dari Singapura.

"Bagi orang luar dari Pontian, memang akan terkejut tengok keadaan Pekan Kukup yang dinaiki air ketika air pasang dan surut semula selepas sejam kemudian.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi bagi kami, sudah lali. Biasanya penduduk akan redah air yang melimpah di Pekan Kukup untuk ke kedai dan urusan harian," ujarnya.

Peniaga Kedai Mi Udang di Rambah, Hamidah Abu pula memberitahu, kedainya air mula memasuki kedainya pada jam 10.30 pagi.

Pekerja Kedai Mi Udang di Rambah sedang membersihkan kedai selepas air pasang surut.
Pekerja Kedai Mi Udang di Rambah sedang membersihkan kedai selepas air pasang surut.

Keadaan itu katanya, menyebabkan dia bersama lima pekerja terpaksa melakukan kerja-kerja pembersihan sebaik air surut sejam kemudian.

“Memang beginilah keadaan kedai setiap kali air pasang, pasti kedai yang terletak Jeti Nelayan Rambah dinaiki air terutama pada hujung tahun.

"Kerja-kerja pembersihan perlu dilakukan segera kerana kedai akan buka pada jam 1 tengah hari," katanya.

Sementara itu, Penyelia Taman Negara Johor Tanjung Piai, Hanif Aminuddin berkata, air pasang besar pada Selasa setinggi 3.5 meter mengambil masa dua jam untuk surut.

Keadaan di Taman Negara Johor Tanjung Piai ketika limpahan air berlaku akibat air pasang besar pada Selasa.
Keadaan di Taman Negara Johor Tanjung Piai ketika limpahan air berlaku akibat air pasang besar pada Selasa.

Menurut beliau, air pasang besar kali ini merupakan kejadian kedua berlaku pada akhir tahun selepas terjadi pada pertengahan November lalu.

"Kejadian air pasang besar semakin kerap pada hujung tahun. Untuk bulan ini, limpahan air akibat kejadian air pasang besar akan berlaku dua hari pada Selasa dan Rabu.

"Semasa kejadian air pasang besar, tiada jualan tiket dibuka kepada pengunjung kerana kawasan dilimpahi air termasuk di kawasan mercu tanda penghujung benua Asia.

"Pengunjung yang datang biasanya tidak melepaskan peluang untuk bermandi-manda di dataran berdekatan pintu masuk dengan dikawal oleh petugas," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!