Tindakan pengusaha feri batal kenaikan tambang tepat - Exco

Mohd Salleh (tengah) turut menyampaikan wang ihsan I-Kafalah kepada 84 penerima bernilai RM42,000 yang merupakan bantuan khairat kematian sempena program sumbangan pasca banjir DUN Kubang Rotan.
Mohd Salleh (tengah) turut menyampaikan wang ihsan I-Kafalah kepada 84 penerima bernilai RM42,000 yang merupakan bantuan khairat kematian sempena program sumbangan pasca banjir DUN Kubang Rotan.
A
A
A

KUBANG ROTAN - Pembatalan kenaikan kadar tambang feri yang dijadualkan berkuat kuasa 1 Januari depan merupakan keputusan tepat dan secara tidak langsung dapat merancakkan kempen Tahun Melawat Kedah (TMK 2025).

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, ia juga akan membantu melonjakkan sektor pelancongan negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menurutnya, sebarang kenaikan kos termasuk pengangkutan sudah pasti akan menjejaskan promosi TMK 2025 dan memerlukan kerjasama semua pihak untuk sama-sama membangunkan sektor pelancongan negeri.

“Saya yakin pada tahun depan tidak berlaku kenaikan harga tiket memandangkan itulah jaminan diberikan pengusaha feri.

“Sekiranya berlaku kenaikan sudah tentu sedikit sebanyak beri kesan kepada kempen TMK 2025, sebab itu saya mohon agar mereka pertimbangkan kenaikan tersebut dalam perbincangan baru-baru ini,” katanya pada sidang akhbar selepas program sumbangan pasca banjir DUN Kubang Rotan pada Isnin.

Pada Ahad, Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd membatalkan kenaikan kadar tambang feri yang dijadualkan dikuatkuasakan 1 Januari depan susulan nasihat Kementerian Pengangkutan (MOT).

Pengurus Besar Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, pembatalan itu membabitkan kenaikan kadar tambang bagi warganegara Malaysia namun kenaikan tambang bagi pelancong asing dikuatkuasakan mulai tahun hadapan.

Sebelum ini, kenaikan kadar tambang feri Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah dilaporkan akan dinaikkan antara RM3 hingga RM10.50 sehala mengikut kategori penumpang dan laluan perjalanan.

Artikel Berkaitan:

MOT kemudiannya memberi amaran untuk membatalkan pemberian subsidi diesel terhadap pengusaha feri jika meneruskan kenaikan harga tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik.

Mohd Salleh berharap semua penggiat industri pelancongan negeri akan menyokong usaha kerajaan negeri memeriahkan TMK 2025 selain tidak membuat keputusan terburu-buru yang boleh merencatkan promosi tersebut.

“Kita harap semua penggiat industri pelancongan bersama dengan kita. Kita tak mahu hanya kita bersungguh-sungguh adakan pelbagai program sempena TMK 2025 kerana ia perlukan sokongan semua pihak.

“Jadi saya harap berhati-hati dalam membuat apa-apa tindakan termasuk kenaikan harga dan sebagainya kerana akan menjejaskan promosi TMK 2025,” ujarnya.

Menurutnya, hasil perbincangan juga mencapai kata sepakat untuk menambah kekerapan perjalanan feri menggunakan feri berkapasiti kecil berbanding hanya feri berkapasiti tinggi.

“Pengusaha feri bersedia tambah perjalanan jika ada keperluan selepas kerja-kerja pengorekan dijangka siap pada bulan Februari.

“Mereka juga sedia beroperasi pada waktu malam sempena penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada tahun depan. Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang beri kerjasama baik dalam membangunkan sektor pelancongan Kedah,” katanya.

Mohd Salleh memaklumkan, kerja-kerja menaik taraf Terminal Feri Kuala Kedah yang kini giat dijalankan dijangka siap sepenuhnya dalam masa dua tahun akan datang.

“Terminal tersebut masih boleh digunakan, disediakan ruang untuk feri beroperasi dan tak akan jejaskan pengangkutan feri ke Langkawi. Kita akan gunakan ruang disediakan sebaik-baiknya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!