Gempa bumi lemah biasa berlaku, NDRC pantau tujuh hari
KOTA KINABALU - Gempa bumi lemah yang berlaku di Ranau selama dua hari berturut-turut adalah kejadian biasa melibatkan pergerakan kecil di daerah pergunungan berkenaan.
Pengarah Pusat Kajian Bencana (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Ts Dr Carolyn Melissa Payus berkata, pergerakan kecil itu dikenali sebagai kluster gempa.
"Cuma memang kebiasaannya gempa kecil banyak akan berlaku sebelum disusuli gempa besar. Saya tidak mahu menakutkan orang tetapi itu yang biasanya berlaku.
"Tetapi sebab kita sudah ada sensor, jadi gempa kecil yang kerap berlaku ia direkodkan dan menyebabkan bila ada kejadian semua orang bimbang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Bagaimanapun, Carolyn Melissa berkata, kajian mengenai perkara itu sedang dilakukan oleh NDRC termasuk memantau kawasan tersebut selama tujuh hari.
"Selama tujuh hari kalau keadaan stabil jadi tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan.
"Tapi memang kekuatan gempa bumi itu akan meningkat atau menurun sepanjang ia berlaku dan ia tidak menentu jadi kita akan pantau. Tetapi kekuatan bermagnitud di bawah 3.5 skala Ritcher itu masih kecil," katanya.
Ditanya berapa banyak kejadian yang direkodkan NDRC pada tahun ini untuk kawasan Ranau saja, beliau memaklumkan setakat ini hanya tiga kejadian termasuk dua hari berturut-turut pada Isnin dan Selasa.
Sehubungan itu, Carolyn Melissa meminta orang ramai di sekitar Ranau supaya tidak panik dengan kejadian itu.
"Kita juga ada mengadakan program pendidikan untuk sekolah. Kami laksanakan di sekolah kerana itu lebih penting supaya mereka terdedah lebih awal bagaimana untuk menyelamatkan diri.
"Dari segi struktur pun kami sudah buat kajian tetapi tidaklah wajib ditukar cuma kita bagi khidmat nasihat kepada pemilik bangunan terutama melibatkan rumah inap desa.
"Di peringkat pendakian pula, mereka juga sudah tahu prosedur operasi standard (SOP) atau pelan tindakan mereka sendiri untuk lakukan apa yang perlu jika ada kejadian tidak diingini," katanya.
Pakar Geologi, Profesor Dr Felix Tongkul ketika dihubungi turut menyatakan gempa bumi lemah yang berlaku di Ranau adalah kejadian biasa.
"Penduduk tidak perlu risau dengan keadaan itu, yang perlu dilakukan hanya berjaga-jaga," katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataannya melaporkan kejadian gempa bumi lemah berlaku di Ranau bermagnitud 3.1 pada skala Ritcher pada jam 10.01 pagi Selasa.
Sebelum itu, kejadian sama berlaku di Ranau dengan kekuatan 2.8 pada skala Richter dikesan pada jam 2.56 petang Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!