Lebih 52 peratus pengguna nikmati akses 5G - Fahmi
PUTRAJAYA - Malaysia mencatatkan perkembangan yang amat positif dalam pelaksanaan teknologi 5G dengan lebih 52 peratus pengguna kini menikmati akses kepada rangkaian itu, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, ia peningkatan signifikan berbanding dengan angka tahun lepas, yang mencerminkan usaha berterusan daripada pelbagai pihak untuk memperkukuh infrastruktur digital negara.
Dilaporkan pada Oktober 2023, penerimagunaan 5G berada pada kadar 10.8 peratus dengan angka terkini menunjukkan peningkatan hampir lima kali ganda.
"Ini angka yang sangat-sangat baik kalau nak dibandingkan dengan setahun yang lalu, dan kita juga telah berupaya menyelesaikan banyak masalah melibatkan projek Jendela (Jalinan Digital Negara) yang secara keseluruhan bagi fasa pertama menelan belanja RM5.15 bilion.
"Banyak daripada masalah ini tidak mampu kita lakukan, tidak mampu kita selesaikan tanpa usaha sama yang baik, bukan hanya di pihak kementerian, SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), malah juga dalam kalangan pembina menara yang kita panggil pada bahagian pertama dan juga penyedia perkhidmatan telekomunikasi, iaitu bahagian kedua," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama dan RTM selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi Disember di sini hari ini.
Mengenai perkembangan Jendela, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, setiap syarikat telekomunikasi mempunyai sasaran jumlah menara yang perlu disiapkan dan diaktifkan menjelang tarikh akhir yang telah ditetapkan iaitu pada Jun 2025 bagi projek fasa pertama.
SKMM turut diminta untuk memperketatkan langkah keselamatan bagi menara telekomunikasi di kawasan yang sering terdedah kepada vandalisme, memandangkan tinjauan yang dilakukan di beberapa tapak menara didapati reka bentuk pagar adalah terlalu asas menjadikan menara tersebut terdedah kepada kerosakan atau kecurian.
"Saya akan minta supaya menara-menara Jendela perlu dinaik taraf. Pertama dengan pagar anti-climb, kedua dengan kawat berduri. Sekarang ini mereka gunakan yang lain...nampak terlalu mudah untuk dipotong dan dipanjat.
"Jadi kita nak yang lebih teratur dan saya juga telah minta selesaikan perkara ini segera, sebelum kita bincang pasal Jendela fasa dua," katanya.
Menyentuh mengenai projek Point of Presence (PoP) yang bertujuan melengkapkan lebih 4,000 sekolah di kawasan luar bandar dengan akses internet, Fahmi berkata setakat ini, fasa pertama projek itu telah menyelesaikan pemasangan internet di sekitar 700 sekolah, sementara lebih 3,000 sekolah sedang dalam proses pelaksanaan.
Beliau turut menegaskan agar tindakan tegas diambil terhadap penyedia perkhidmatan yang gagal menepati garis masa bagi projek PoP berikutan kebimbangan mengenai penggunaan dana rakyat.
"Saya telah minta KSU (Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa) meneliti sekiranya ada mana-mana projek Point of Presence yang lewat, maka perlu diambil tindakan yang tegas kerana ini adalah duit rakyat, yang mana semua penyedia ada garis masa yang telah mereka janjikan dan ditandatangani dalam kontrak dan diteliti, maka kita nak pastikan projek seperti ini selesai dengan segera," katanya.
PoP dilaksanakan bagi menyediakan infrastruktur gentian optik di kawasan sekitar sekolah, kediaman, premis perniagaan, komersial dan industri serta penyelenggaraan infrastruktur gentian optik dan antara komitmen kerajaan dalam menggalakkan penerimagunaan teknologi digital oleh segenap lapisan masyarakat sama ada di bandar mahupun di luar bandar. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!