Dua lelaki ditahan bersama heroin, syabu
JEMPOL - Dua lelaki dipercayai tokan dadah ditahan oleh anggota kereta peronda polis (MPV) di tepi Jalan Bahau-Kemayan, di sini kira-kira jam 3.15 pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, anggota berkenaan sedang membuat rondaan di kawasan pentadbiran Sungai Lui sebelum ternampak sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dinaiki lelaki berusia 31 dan 29 tahun dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan telah menjumpai satu kotak berisi tiga peket lutsinar di bawah tempat duduk pemandu disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran 134.50 gram dan syabu seberat, 0.40 gram.
"Siasatan lanjut mendapati dadah bernilai kira-kira RM3,362 ini dipercayai untuk kegunaan kenalan terdekat," katanya pada Selasa.
Ujar beliau, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai buruh serta berasal dari Triang, Pahang dan Kuala Lumpur itu positif dadah jenis methamphetamine.
"Suspek pertama mempunyai 13 rekod jenayah lampau manakala rakannya ada lima rekod jenayah dan mereka kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!