Penantian keluarga berakhir, jenazah mendiang Olivia tiba Khamis ini

Jenazah mendiang Olivia dijangka tiba di Kota Kinabalu pada Khamis ini.
Jenazah mendiang Olivia dijangka tiba di Kota Kinabalu pada Khamis ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Penantian selama dua minggu menunggu kepulangan jenazah mendiang Olivia Richard, 46, dari Korea Selatan, akan berakhir apabila mayatnya dijangka tiba di Kota Kinabalu pada Khamis ini.

Menurut adiknya, Dora, 44, mereka baru saja dimaklumkan jadual penerbangan jenazah mendiang Olivia yang akan berlepas pada Rabu dari Seoul dan tiba di Kuala Lumpur sebelum berlepas pada keesokan harinya untuk ke Kota Kinabalu.

"Mendiang dijangka tiba di Kota Kinabalu sekitar jam 11 pagi Khamis dan kami sekeluarga termasuk ibu akan 'menyambut' kepulangannya.

"Kami sudah tidak sabar, selepas 16 hari barulah jasadnya kembali ke kampung halaman. Itupun selepas selesai urusan hospital di sana dan kami baru juga dimaklumkan hasil bedah siasat punca kematian mendiang adalah disebabkan sakit jantung," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Dora berkata, jenazah mendiang akan disemadikan di Tanah Perkuburan Libagu, Papar.

"Memandangkan jasad mendiang sudah begitu lama, jadi kami ambil keputusan untuk terus kebumikan pada hari yang sama. Mendiang hanya akan dibawa ke rumah di Kampung Novoung, Papar, sekejap sebelum terus dibawa ke tanah perkuburan," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan, seorang lagi rakyat Sabah yang berada di Korea Selatan dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Hwamok-ri, wilayah Gyeongsang Utara, pada 4 Disember lalu.

Usaha membawa jenazah pulang ke Sabah pada awalnya mengalami kesukaran apabila pihak keluarga tidak berkemampuan untuk menanggung kos penerbangan jenazah yang mencecah lebih RM30,000.

Artikel Berkaitan:

Namun, hasil kutipan sumbangan serta dana yang disalurkan oleh Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) akhirnya cukup untuk membawa pulang mendiang Olivia ke kampung halamannya di Papar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!