Ahmad Zahid, Ka Siong dan Johari ucap tahniah kepada Musa Aman

Musa pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana Negara pada Selasa. Foto Bernama
Musa pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana Negara pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan tahniah buat Tun Musa Aman di atas pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 di Istana Negara pada Selasa.

Beliau berkata, pelantikan itu diharapkan mampu membawa lebih banyak kejayaan, kesejahteraan dan kemakmuran buat rakyat Sabah serta seluruh negara.

"Saya mendoakan agar Musa sentiasa diberikan petunjuk, hidayah dan kekuatan dalam menjalankan amanah dengan cemerlang.

"Selamat maju jaya dalam menerajui kepimpinan Sabah, semoga ALLAH SWT sentiasa merahmati perjalanan Musa," katanya menerusi hantaran di X.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga tersebut dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang membawa gelaran Tun dan bakal berkuat kuasa 1 Januari depan.

Musa, 73, dilantik bagi menggantikan Tuan Yang Terutama (TYT) sekarang iaitu Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini.

Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan turut mendoakan agar Sabah sentiasa aman dan makmur.

"Saya menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada Musa dan mendoakan agar Sabah akan kekal aman lagi makmur," ujarnya ringkas.

Artikel Berkaitan:

Begitu juga dengan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang mendoakan perkara sama.

"Tahniah diucapkan dan selamat menjalankan amanah. Semoga Sabah terus maju jaya di bawah kepimpinan TYT Musa.

"Saya mendoakan supaya diberi kejayaan besar sepanjang menjalankan tanggungjawab ini," kata beliau lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!