Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Thailand siasat pegawai benarkan Thaksin jalani hukuman di hospital
BANGKOK - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACC) Thailand memutuskan untuk menyiasat beberapa pegawai kerajaan yang dituduh membenarkan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra tinggal di hospital dan bukannya penjara.
Memetik laporan Bangkok Post, Setiausaha Agung NACC, Sarote Phuengramphan berkata, suruhanjaya itu membuat keputusan sedemikian sebagai menjawab dakwaan kononnya terdapat pegawai di Jabatan Pemulihan dan Hospital Besar Polis menghantar Thaksin ke hospital tersebut supaya dia tidak perlu untuk menjalani hukuman di penjara.
Mengikut pertuduhan, Thaksin dibenarkan tinggal di Hospital Besar Polis selama 180 hari walaupun dia tidak mengalami sakit tenat.
Lapor Bangkok Post, NACC telah menemui fakta, saksi dan bukti yang mencukupi untuk menjalankan siasatan sekali gus memutuskan untuk meneruskan kes itu.
Siasatan akan tertumpu kepada 12 pegawai yang bertugas di Jabatan Pemulihan dan Hospital Besar Polis, katanya.
Thaksin kembali ke negara tersebut pada 22 Ogos tahun lalu selepas 15 tahun hidup dalam buangan.
Pada tarikh tersebut, beliau dibawa ke Mahkamah Agong dan telah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun atas tiga pertuduhan.
Hukuman itu kemudian dikurangkan kepada setahun atas pengampunan diraja.
Pada malam pertamanya di Penjara Reman Bangkok, doktor memutuskan dia perlu dipindahkan ke hospital kerana mengalami sakit dada, darah tinggi dan paras oksigen darah rendah.
Thaksin secara sah dibenarkan menerima rawatan di luar penjara selama 120 hari, tetapi Jabatan Pemulihan membenarkannya meneruskan rawatan di hospital melangkaui 22 Disember.
Thaksin kemudian diarah menjalani parol dan dibenarkan keluar dari hospital pada 18 Februari tahun ini.
Hukuman penjara ke atas bekas Perdana Menteri itu sepatutnya berakhir pada 31 Ogos lalu. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!