Polis, TNB potong bekalan elektrik lokasi perjudian haram

Kuala Lumpur: 17 Disember 2024: Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju bersama petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengadakan operasi pemotongan bekalan elektrik di premis-premis perjudian di sekitar Wangsa Maju.
Foto: SINAR HARIAN / ROSLI TALIB.
Kuala Lumpur: 17 Disember 2024: Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju bersama petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengadakan operasi pemotongan bekalan elektrik di premis-premis perjudian di sekitar Wangsa Maju. Foto: SINAR HARIAN / ROSLI TALIB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pernah diserbu sebelum ini namun ejen perjudian haram masih menggunakan lokasi sama bagi menjalankan kegiatan tidak sah dan berselindung di sebalik perniagaan lain.

Tidak pernah serik, ejen haram tersebut terus beroperasi di kawasan terbuka termasuk di kawasan perumahan awam.

Malah ada yang menjadikan pusat snuker dan premis perniagaan sah sebagai lokasi perjudian haram.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, menyedari kegiatan haram itu masih berleluasa, tindakan tegas telah diambil oleh pihaknya.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) melaksanakan pemotongan bekalan elektrik di premis-premis judi di sekitar daerah tersebut pada Selasa.

Kata beliau, premis yang dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik itu melibatkan ejen perjudian untuk loteri awam haram dan tambah nilai judi dalam talian.

"Tindakan memotong bekalan elektrik ini dilakukan di tiga premis yang berada dalam pentadbiran IPD Wangsa Maju kerana menjalankan aktiviti perjudian haram.

"Ia melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 untuk ejen loteri awam haram dan Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 bagi ejen 'top up' judi online haram," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, tindakan pemotongan elektrik tersebut dijalankan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289).

Terdahulu kumpulan media mengikuti operasi pemotongan elektrik di sebuah pusat snuker di Jalan Ampang dan premis perniagaan di tingkat bawah sebuah flat perumahan di Danau Kota di sini.

Operasi itu melibatkan seorang pegawai bersama dua anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju serta dua petugas TNB.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!