Dua peguam disiasat kes pecah amanah bernilai lebih RM3 juta

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menerima laporan berkaitan kes pecah amanah oleh dua peguam yang membabitkan kerugian lebih RM3 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seorang pengarah syarikat berusia 40 tahun mendakwa peguam yang dilantik oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menjadi pentadbir sementara ke atas harta pusaka milik ibunya telah melakukan pecah amanah pada 29 November lalu.

"Lelaki itu mendakwa terdapat lima transaksi pengeluaran wang sebanyak RM2,072,708.25 yang mencurigakan dari akaun bank milik mendiang ibu pengadu tanpa pengetahuannya," katanya pada sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ di sini pada Selasa.

Ramli berkata, kes kedua pula, seorang lelaki berusia 41 telah membuat laporan polis di Petaling Jaya, Selangor, pada 8 Disember lalu.

"Mangsa telah berkenalan dengan seorang individu yang dikatakan boleh membantu dalam urusan mendapatkan pinjaman perniagaan dari luar negara.

"Setelah beberapa siri perbincangan, pengadu bersetuju untuk mendapatkan pinjaman berjumlah RM200 juta untuk kegunaan syarikat miliknya," katanya.

Beliau berkata, pengadu seterusnya diperkenalkan kepada seorang peguam yang akan mengendalikan urusan dokumentasi serta pembayaran yang berkaitan.

"Setelah menandatangani beberapa dokumen yang diterima daripada peguam tersebut, pengadu telah membuat pembayaran deposit sebanyak RM1 juta ke dalam akaun klien firma guaman yang berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pengadu kemudian menghubungi semula peguamnya bagi mendapatkan perkembangan terkini status pinjamannya, namun pelbagai alasan diberikan.

"Pengadu juga telah meminta peguamnya membuktikan wang RM1 juta yang telah dibayar masih berada di dalam akaun klien firma guaman tersebut, namun peguam tersebut enggan berbuat demikian," katanya.

Ramli berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

"Perlakuan jenayah dalam kalangan pengamal undang-undang merupakan satu perkara serius kerana mereka adalah rujukan masyarakat dalam perihal perundangan.

"Individu yang mendapatkan perkhidmatan guaman pastinya meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa peguam yang dilantik akan melindungi kepentingan mereka," katanya.

Menurutnya, tidak sewajarnya mana-mana peguam mengkhianati kepercayaan tersebut.

"Polis menyokong komitmen Majlis Peguam Malaysia yang dilihat semakin serius dan memberikan perhatian khusus bagi menangani isu salah laku dalam kalangan peguam.

"Kita amat menghargai usaha yang dilakukan oleh Majlis Peguam Malaysia dan kami bersedia untuk memberikan kerjasama sewajarnya bagi mencapai matlamat ini," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!