Pembantu kedai runcit mengaku salah lakukan rompakan bersenjata
KOTA BHARU - Seorang pembantu kedai runcit hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan melakukan rompakan bersenjata di sekitar Pasir Puteh pada November lepas dan awal bulan ini.
Mengikut pertuduhan pertama Zulhairie Zulkifli, 24, didakwa melakukan rompakan menggunakan sebilah pisau terhadap seorang wanita berusia 26 tahun di kaunter pembayaran sebuah kedai runcit di Pasir Puteh pada 6.45 petang, 6 November lepas.
Tertuduh telah mengambil wang tunai milik kedai runcit yang mendatangkan kerugian lebih RM400.
Bagi pertuduhan kedua pula, Zulhairie didakwa merompak wanita berusia 18 tahun di kaunter bayaran kedai runcit di Sungai Petai, Pasir Puteh pada 3.29 petang, 2 Dis lepas dan mengambil beg duit yang mengandungi kad pengenalan mangsa serta wang tunai RM200.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun, denda atau sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Zulkifli Abllah menetapkan 19 Januari depan untuk fakta kes dan hukuman. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!