Peralihan kenderaan rasmi kerajaan kepada EV dilaksana berperingkat
PUTRAJAYA - Peralihan kenderaan rasmi kerajaan kepada kenderaan elektrik (EV) akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun hadapan, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata, proses peralihan itu telah bermula dan perkara itu akan dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) kelak.
"Peralihan ini tidak dibuat sekali gus, ia akan dilaksanakan secara berperingkat namun prosesnya sudah pun bermula dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
"Insya-ALLAH saya rasa menjelang tahun depan kita akan lihat secara praktis perkara itu dapat dilaksanakan," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Garis Panduan Peralihan Kenderaan Kerajaan Kepada EV dan Perasmian Stesen Pengecas Pantas EV di sini hari ini.
Ditanya sama ada peralihan itu akan membabitkan semua peringkat atau jabatan tertentu, Nik Nazmi berkata, perkara itu bergantung kepada keperluan dan tertakluk kepada keputusan MOF.
"Ia bergantung kepada keperluan sebab ada beberapa aspek yang perlu diambil kira kerana dalam garis panduan (peralihan kenderaan kerajaan) perlu dilihat apa keperluannya.
"Keperluan itu bergantung sama ada peralihan itu boleh dipenuhi EV tempatan atau EV lain dan sebagainya," katanya.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata, Garis Panduan Peralihan Kenderaan Kerajaan Kepada EV merupakan dokumen panduan yang dirangka oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).
Ia dilakukan bersama pakar teknikal dan pihak berkepentingan yang terdiri daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi serta industri.
Beliau berkata, dokumen itu memperincikan strategi peralihan yang merangkumi penilaian inventori 'fleet' semasa untuk mengenal pasti keperluan operasi, pemilihan kenderaan elektrik, perancangan infrastruktur pengecasan dan analisis kos serta pengurangan pelepasan karbon bagi memastikan peralihan yang terancang dan berkesan di samping memperkukuhkan agenda kelestarian alam sekitar.
"Selain itu, aspek keselamatan, pemantauan, pelaporan dan latihan juga menjadi keutamaan untuk menjamin kelancaran transformasi ini.
"Saya percaya, dengan sokongan semua pihak seperti pengurus perolehan dan aset, pengurus kewangan, akaun termasuk para pemandu akan memberi impak positif dan berkesan dalam pengurusan alam sekitar selain mengurangkan kos operasi dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan dalam jangka masa panjang," katanya.
Beliau berkata, garis panduan itu juga bertujuan untuk memastikan peralihan kenderaan kerajaan kepada EV berjalan lancar malah dapat memacu inovasi dan pembangunan ekosistem EV di Malaysia secara mampan.
Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Stesen Pengecas Pantas EV yang pertama di Blok F11, Kompleks F, di sini.
Nik Nazmi berkata, stesen pengecasan pantas itu mempunyai kapasiti 60 kilowatt, yang membolehkan EV dicas hingga kapasiti 80 peratus dalam masa kurang daripada 30 minit berbanding pengecas biasa jenis arus ulang alik (AC) yang mengambil masa beberapa jam.
"Inisiatif ini turut menyokong visi Putrajaya sebagai Bandar Rendah Karbon menjelang 2025 dengan memperlihatkan Kompleks F sebagai contoh bagi pelaksanaan Zon Rendah Karbon.
"Projek ini bertujuan mempamerkan pelaksanaan inisiatif rendah karbon dalam premis kerajaan, memudahkan pemilikan dan penggunaan EV melalui penyediaan infrastruktur sokongan, serta menjadi contoh kepada kementerian dan jabatan serta agensi lain,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!