Baca Perlembagaan Sabah, Fahmi bidas Amira Aisya

Fahmi Fadzil. Foto Bernama
Fahmi Fadzil. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil membidas kritikan Pemangku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abdul Aziz berhubung pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11.

Fahmi berkata, Amira Aisya sepatutnya meneliti Perkara 1(1) Perlembagaan Negeri Sabah terlebih dahulu yang secara jelas menyatakan tugas dan tanggungjawab dalam pelantikan Tuan Yang Terutama (TYT) negeri tersebut.

Menurut Menteri Komunikasi itu, pelantikan Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah mengikut budi bicara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selepas mendapat nasihat daripada ketua menteri.

Jelas beliau lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai sebarang peranan dalam apa jua proses lantikan yang berlaku.

“Sebelum membuat kenyataan tanpa asas fakta, sepatutnya yang berhormat (YB) teliti dahulu Perkara 1(1) Perlembagaan Negeri Sabah.

“Perlembagaan ini jelas menyatakan tugas dan tanggungjawab dalam pelantikan TYT Sabah," katanya menerusi hantaran di X pada Selasa.

Sebelum ini, Amira Aisya mengkritik tindakan Anwar kerana dilihat semakin membelakangkan agenda reformasi sehinggakan Musa yang terpalit pelbagai kontroversi dilantik sebagai TYT Sabah.

Menerusi hantaran video di X, beliau mendakwa kerajaan hari ini seolah-olah tidak lagi mahu memperjuangkan reformasi, sebaliknya lebih berminat untuk kekal berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu, pihaknya turut melabelkan Anwar sebagai Perdana Menteri paling hipokrit kerana memberikan jawatan tinggi kepada individu yang beliau sendiri pernah gelarkan perasuah.

Musa yang juga bekas Ketua Menteri Sabah dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 berkuat kuasa 1 Januari 2025.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Musa pada istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara, di sini, pagi Selasa.

Musa, 73, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028.

Pelantikan Musa adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!