Polis ambil keterangan 3 individu berhubung perkahwinan diraja Tengku Mahkota Pahang
BENTONG - Polis telah mengambil keterangan tiga individu berhubung satu hantaran tular berkenaan perkahwinan diraja melibatkan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dengan seorang wanita, yang kononnya akan berlangsung pada April tahun depan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kesemua individu itu dipanggil pada Ahad lepas bagi membantu siasatan berkaitan hantaran yang dimuat naik oleh pengguna platform di Instagram dengan nama Faridah Daud (faridah.daud_l).
Beliau berkata, pihaknya juga telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sekarang kita sudah ambil tiga keterangan, kes ini masih dalam siasatan. Kita sedang buat pemprofilan dan juga giat mengesan Faridah, diharap orang ramai dapat bekerjasama membantu kita menyalurkan maklumat (mengesan Faridah) untuk mempercepat proses siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang akhbar Kejayaan Tangkapan Kumpulan Samun Geng Heri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini hari ini.
Istana Pahang sebelum ini menafikan satu hantaran tular berkenaan perkahwinan diraja melibatkan Tengku Hassanal dengan seorang wanita.
Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya dilaporkan berkata hantaran yang dimuat naik oleh wanita itu menyaksikan wanita berkenaan menerangkan majlis perkahwinannya bersama Tengku Hassanal.
Menurut hantaran pada cerita Instagram berkenaan, wanita itu mendakwa akan melangsungkan perkahwinan pada April tahun depan dan secara fitnah telah menyebut nama Tengku Mahkota Pahang sebagai pasangannya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!