Dua wanita warga emas rugi lebih RM2 juta diperdaya kekasih maya
![Dua wanita warga emas mengalami kerugian lebih RM2 juta selepas ditipu kekasih alam maya.Gambar hiasan](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/12/17/2931516.jpg)
KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga emas mengalami kerugian kira-kira RM2.2 juta selepas ditipu kekasih alam maya yang dikenali sejak 2017.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, akauntan berusia 67 tahun itu mendakwa berkenalan dengan seorang lelaki warga Amerika Syarikat di laman sosial.
"Suspek memperkenalkan dirinya sebagai ahli perniagaan dalam bidang pembekalan alatan perubatan di Singapura.
"Selepas sebulan berkenalan, hubungan mereka menjadi semakin rapat dan mula menjalinkan hubungan cinta secara maya," katanya pada sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ, di sini, pada Selasa.
Ramli berkata, suspek kemudian mendakwa ingin berpindah ke Malaysia, namun memerlukan wang untuk kos pengangkutan.
"Mangsa bersetuju untuk membantu dengan membuat pindahan wang berjumlah RM5,000 ke akaun yang diberikan suspek," katanya.
Beliau berkata, suspek kemudiannya terus meminta wang dengan pelbagai alasan seperti masalah peribadi dan urusan perniagaan.
"Mangsa membuat sebanyak 306 transaksi wang ke 50 akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.2 juta," katanya.
![Ramli ketika sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ, di sini, pada Selasa.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/12/17/2931542.jpg)
Menurutnya, siasatan mendapati sebahagian wang itu adalah hasil pinjaman daripada ahli keluarga dan rakan-rakannya.
"Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu pada November lalu selepas berkongsi cerita tersebut dengan seorang rakan dan laporan polis telah dibuat semalam (Isnin)," katanya.
Mengulas lanjut Ramli berkata, modus operandi utama sindiket menggunakan profil palsu, pengakuan cinta awal, permintaan wang atas pelbagai alasan dan keengganan bertemu secara bersemuka.
Dalam kes berasingan, Ramli berkata, seorang wanita berusia 57 tahun telah mengalami kerugian sebanyak RM2.47 juta selepas terperangkap dalam penipuan sindiket 'love scam'.
"Mangsa yang juga seorang pekerja swasta dilaporkan mula berkenalan dengan seorang lelaki warga England sekitar April lalu melalui laman sosial.
"Setelah berinteraksi selama dua minggu, lelaki tersebut turut mendakwa ingin datang ke Malaysia untuk bertemu mangsa," katanya.
Ramli berkata, mangsa kemudian dihubungi individu yang mendakwa sebagai pegawai kastam.
"Sindiket berkenaan memaklumkan bahawa mereka telah menahan lelaki itu kerana membawa masuk wang tunai sebanyak RM4.66 juta
"Bagi membebaskan lelaki itu, mangsa diminta membuat pembayaran untuk mendapatkan sijil pengesahan daripada pelbagai agensi termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kementerian Kesihatan Malaysia dan kedutaan," katanya.
Menurut Ramli, mangsa yang percaya telah membuat transaksi wang ke 13 akaun bank berbeza.
“Difahamkan mangsa masih diminta untuk membuat bayaran tambahan sebelum menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis pada 28 November lalu.
“Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Akauntan rugi ditipu skim pelaburan tidak wujud
Sementara itu di BESUT, TERENGGANU, seorang akauntan di sebuah syarikat swasta mengalami kerugian sebanyak RM90,000 selepas menjadi mangsa skim pelaburan tidak wujud dalam aplikasi WhatsApp.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh berkata, wanita berusia 33 tahun itu telah melihat satu iklan pelaburan syarikat negara Hong Kong dan Taiwan di aplikasi tersebut yang menawarkan pulangan keuntungan lumayan.
"Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu kemudian menyertai grup WhatsApp.
"Suspek memberi tunjur ajar kepada mangsa cara untuk melabur dengan tawaran imbuhan pendapatan yang tinggi dan meraih keuntungan dalam tempoh 24 jam.
"Suspek kemudian mengarahkan mangsa melakukan transaksi pindahan wang ke empat akaun bank yang berdaftar atas nama syarikat," katanya dalam kenyataan di sini pada selasa.
Mengulas lanjut, Md Sani berkata, mangsa mula melabur sekitar bulan September hingga bulan ini dengan melakukan pemindahan wang sebanyak RM90,000 ke dalam beberapa akaun bank tersebut.
Beliau berkata, sehingga kini mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan.
Justeru, Md Sani berkata, mangsa yang berasa tertipu telah membuat laporan polis pada Isnin lalu.
"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!