Malaysia kutuk Israel perluas penempatan haram di Bukit Golan
PUTRAJAYA - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya keputusan rejim Zionis Israel untuk memperluaskan penempatan haram di Bukit Golan yang diduduki.
Wisma Putra menerusi kenyataan memaklumkan, tindakan Israel itu secara terang-terangan melanggar integriti wilayah dan kedaulatan Syria.
Malah, serangan udara Israel yang menyasarkan pelbagai lokasi di wilayah Syria bertentangan dengan prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.
"Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa agar menunaikan tanggungjawab undang-undang dan moral mereka dengan memastikan rejim Zionis Israel segera menghentikan semua serangan haram mereka serta bertanggungjawab atas pendudukan haram di tanah Syria, selaras dengan Resolusi 497 (1981) Majlis Keselamatan PBB," kata kenyataan itu pada Selasa.
Tambah Wisma Putra, Malaysia terus menyokong kedaulatan, kemerdekaan dan keutuhan wilayah Syria serta bersedia untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi mencapai keamanan, keselamatan serta kestabilan berkekalan di Syria dan rantau Asia Barat.
Ahad lalu, kerajaan 'ekstremis' itu meluluskan rancangan untuk menambah populasi pendatang haram Yahudi di Bukit Golan terletak di barat daya Syria yang diduduki Tel Aviv sejak 1967.
Pengumuman itu dibuat selepas ia mengesahkan kononnya tiada niat untuk berkonfrontasi dengan kerajaan sementara Syria setelah ia menceroboh zon penampan di sempadan negara tersebut selain melancarkan serangan udara bertalu-talu sejak lebih seminggu lalu.
Pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memaklumkan kerajaan memberi lampu hijau terhadap projek pembangunan demografi di Bukit Golan bernilai 40 juta shekel (RM48.8 juta) selepas pemimpin tersebut mengisytiharkan kawasan itu sebagai 'milik Tel Aviv selama-lamanya'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!