Jom sertai Program AIA Healthiest Schools, terbuka kepada semua sekolah
Disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, program AIA Healthiest Schools (AHS) direka untuk menggalakkan amalan hidup sihat dalam kalangan pelajar berusia lima hingga 16 tahun.
Program kali kedua yang dianjurkan itu terbuka kepada semua sekolah kerajaan, swasta dan antarabangsa diperingkat rendah dan menengah, menyediakan bahan pengajaran yang boleh dimuat turun secara percuma (tersedia dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Mandarin) bagi memperkasa tenaga pengajar untuk memperkenalkan konsep kesihatan dan kesejahteraan secara berkesan kepada para pelajar.
AIA Malaysia dalam satu kenyataan berkata, bagi menggalakkan sekolah-sekolah yang mengambil bahagian untuk berkongsi impak serta pencapaian mereka dalam meningkatkan tahap kesihatan pelajar, program AHS juga menampilkan pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai sehingga AS$100,000.
“Pada tahun pertama program AHS, lebih 35 penyertaan diterima dari sekolah-sekolah di Malaysia, yang mana 18 sekolah telah diberi penghormatan atas usaha luar biasa mereka dalam mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan melalui projek-projek inovatif dan berkesan.
“SK Putrajaya Presint 11(1) dan SMK Convent Butterworth masing-masing muncul sebagai pemenang bagi kategori sekolah rendah dan menengah. SK Putrajaya Presint 11(1) juga telah mengharumkan nama negara apabila merangkul gelaran juara keseluruhan Pertandingan AIA Healthiest Schools peringkat serantau dengan mengalahkan sekolah-sekolah dari lima pasaran AIA yang lain dan telah menerima AS$100,000,”katanya di sini, hari ini.
Projek mereka menampilkan aplikasi mudah alih kesihatan 'HELPIE' yang membantu meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental melalui alatan, permainan dan kempen interaktif disamping memperkasakan pelajar untuk memahami dan menguruskan tekanan.
Menurutnya, bagi membantu tenaga pengajar menyepadukan dan menyesuaikan program AHS dengan lancar ke dalam rancangan pengajaran sedia ada, rakan pendidikan AIA Malaysia, LeapEd mengendalikan bengkel praktikal sebagai sokongan tambahan.
“Merangkumi topik amalan kesedaran ke dalam rutin harian kepada memupuk tabiat pemakanan yang sihat, bengkel-bengkel interaktif ini menawarkan langkah yang boleh diambil dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih sihat.
“Hasilnya, guru dilengkapi teknik praktikal dan mudah dilaksanakan serta mempelajari strategi untuk memupuk daya tahan dan menggalakkan kesihatan mental yang positif dalam kalangan pelajar,”katanya.
Siri bengkel AHS tahun ini dianjurkan di Lembah Klang dan Perlis. Fasa pertama bengkel yang berlangsung pada bulan Oktober direka untuk membantu tenaga pengajar meneroka bahan pengajaran percuma termasuk rancangan pengajaran berstruktur, aktiviti menarik, permainan interaktif dan filem pendek.
Fasa kedua yang dijadualkan pada bulan Disember akan membimbing dan mempersiapkan guru dan tenaga pengajar untuk menghasilkan penyertaan yang menarik untuk pertandingan AHS.
Program AHS dilancarkan oleh AIA Group pada tahun 2022 sebagai sebahagian daripada strategi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat insurans berkenaan dengan tujuan membawa impak positif dalam meningkatkan kesihatan kanak-kanak di seluruh rantau Asia.
Edisi pertama program AHS diperkenalkan di empat negara daripada 18 pasaran AIA iaitu Australia, Hong Kong, Thailand dan Vietnam dan kemudiannya telah dilancarkan di Malaysia dan Indonesia bagi edisi kedua pada tahun 2023.
Sekolah rendah dan menengah yang berminat boleh mendaftar dan mendapatkan maklumat lanjut tentang program AHS di https://ahs.aia.com/my/ms/ di mana bahan pengajaran juga
boleh dimuat turun secara percuma.
Penyertaan untuk pertandingan AHS dibuka sehingga 8 Mac 2025.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!