Kebun diusahakan OKU cacat penglihatan musnah ditenggelami banjir
SETIU - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, seorang warga emas orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan terpaksa menanggung kerugian berganda apabila rumah dan kebun tanaman kontan diusahakan ditenggelami banjir.
Mat Zin Sulaiman, 61, berkata, tanaman kacang panjang dan jagung diusahakan di atas tanah seluas 0.4 hektar itu sepatutnya dituai hujung November lalu.
Menurutnya, bencana yang berlaku tanpa diduga itu menyebabkan tanaman diusahakan bersama anak sulungnya Mohamad Zaidan, 31, mengalami kerugian kira-kira RM10,000.
"Hampir setiap tahun, biasanya kawasan ini dilanda banjir pada akhir Disember atau awal Januari, jadi saya akan sempat menuai sayuran yang ditanam.
"Namun, tahun ini bencana banjir berlaku di luar jangkaan dan saya hanya sempat menuai dan menjual kira-kira 100 kilogram (kg) kacang panjang.
"Proses tuaian peringkat pertama itu dilakukan pada Oktober lalu. Bagaimanapun, untuk tanaman jagung pula ia langsung tidak sempat mengeluarkan hasil dan musnah dalam banjir baru-baru ini," katanya ketika ditemui di Kampung Seri Kenangan, Pelong di sini pada Selasa.
Jelas Mat Zin, keadaan tersebut menyebabkan mereka sekeluarga hilang punca pendapatan dan terpaksa memikirkan kaedah lain untuk menjana hasil pendapatan bagi menampung perbelanjaan seharian.
Sementara itu, Mohamad Zaidan berkata, tanaman kontan begitu sensitif dan mudah mati apabila menerima lebihan air walaupun hanya terdapat takungan air di atas batas.
"Kesemua jenis tanaman yang terdapat di kebun ini tidak mampu bertahan apabila dilanda banjir.
"Bencana banjir kali ini bukan hanya melibatkan kebun sahaja malah rumah keluarga saya yang berada kira-kira 10 meter dari kawasan kebun juga ditenggelami banjir.
"Air naik dengan cepat sehingga mencecah 3 meter menyebabkan ia menghampiri atap rumah yang dibina rendah," katanya.
Bagaimanapun, Mohamad Zaidan berkata, mereka sekeluarga bersyukur kerana sempat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sepanjang banjir melanda baru-baru ini.
"Kami sekeluarga bersyukur kerana hanya harta benda yang musnah dan masing-masing sempat menyelamatkan diri dalam bencana itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!