Bas GoKL tidak lagi percuma kepada warga asing
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan caj RM1 terhadap warga asing yang menggunakan kemudahan bas GoKL.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, sistem itu telah dilaksanakan secara berperingkat sejak awal tahun ini membabitkan empat laluan dan akan diteruskan kepada tiga laluan lagi pada awal Januari depan.
"Pada awal tahun ini, laluan yang telah dikenakan caj RM1 meliputi laluan 1 (hijau), 2 (ungu), 3 (merah) dan 4 (biru).
"Bermula 1 Januari depan, pengguna bukan warganegara bagi laluan 5 (jingga), 6 (merah jambu) dan 8 (merah manggis) turut akan dikenakan caj sama bagi setiap perjalanan," katanya menerusi notis pemakluman yang dikeluarkan.
Katanya, transaksi pembayaran dibuat melalui bayaran tanpa tunai menggunakan kad touch n go, kad kredit atau kad debit.
Tambah kenyataan itu, perkhidmatan secara percuma dikekalkan kepada warganegara namun dikehendaki membuat pendaftaran sistem Mykad bagi menikmati kelebihan itu.
Selain itu katanya, perkhidmatan itu turut diberikan percuma bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah.
"Warganegara yang ingin membuat pendaftaran Mykad boleh berbuat demikian melalui kaunter di hentian akhir Titiwangsa, stesen LRT Universiti (timur), hentian One Maxim serta Jabatan Pengangkutan Bandar tingkat 8 Menara DBKL 2 bermula 15 Disember.
"Kaunter pendaftaran beroperasi pada Isnin hingga Jumaat antara 7 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 4 petang," ujar kenyataan itu.
Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan melalui emel ke jpb@dbkl.gov.my atau talian 03-2028 2298
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!