Merokok di kedai makan, Dr Dzulkefly beri jaminan menteri tak terlepas undang-undang
SHAH ALAM - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberi jaminan tiada siapa yang bakal terlepas daripada undang-undang di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) termasuk menteri.
Beliau berkata, meskipun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menetapkan 28 zon larangan merokok, individu yang melanggar peraturan wajar dikenakan tindakan.
"Setelah Akta 852 berkuatkuasa 1 Oktober lalu, saya berpegang kepada prinsip tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang," katanya ringkas menerusi hantaran di X pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab dakwaan pengguna X yang memuat naik tiga gambar menampakkan seorang menteri dipercayai sedang merokok di sebuah kedai makan di Seremban pada Ahad lalu.
Hantaran yang mencecah hampir 700,000 tontonan tersebut mendapat pelbagai reaksi warga maya, malah ada antaranya berpandangan sikap sedemikian tidak wajar dijadikan contoh.
Ada juga yang meminta KKM mengambil tindakan undang-undang segera seperti mengenakan hukuman atau denda setimpal mengikut Akta 852.
Antara 28 lokasi larangan merokok yang wajib dipatuhi selain premis kedai makan adalah kawasan hospital, klinik, lif atau tandas awam, taman asuhan kanak-kanak, kaunter perkhidmatan awam, stesen minyak, perpustakaan, kompleks sukan dan sebagainya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!