Siasatan libatkan kanak-kanak GISBH di Perak masih berjalan - Exco
IPOH - Majoriti kanak-kanak yang diselamatkan dalam serbuan Op Global melibatkan rumah amal kendalian GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Perak sudah pun dituntut keluarga dan waris.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, jumlah itu melibatkan sebahagian besar daripada keseluruhan 55 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah yang ditempatkan di pusat perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurutnya, mereka yang belum diserahkan kepada keluarga dan waris masih melalui beberapa proses siasatan yang dijalankan polis.
"Apa juga tindakan yang kita lakukan semuanya mengikut siasatan polis.
"Jadi proses-proses itu masih berlaku, ada yang telah ditutup (siasatan kes) dan ada yang belum ditutup.
"Apa yang boleh saya katakan, kebanyakan daripada mereka telah pun dituntut ahli keluarga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sejahtera Warga Emas peringkat Negeri Perak 2024 di sini pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah JKM Perak, Nor Tipah Majin dan Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita Perak, Jamilah Zakaria.
Salbiah turut memaklumkan, tiada penambahan mangsa berlaku dan jumlah 55 kanak-kanak yang diselamatkan itu kekal sejak operasi dijalankan September lalu.
"Tiada tambahan kanak-kanak. Peranan JKM kita melindungi kanak-kanak ini melalui siasatan dijalankan sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kanak-kanak 2001," katanya.
Pada Ahad, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan, terdapat 136 kanak-kanak GISBH belum dituntut.
Mereka kini ditempatkan di sembilan institusi JKM seluruh negara mengikut Seksyen 25 (2) (a) Akta Kanak-kanak 2001.
Dalam perkembangan lain, Salbiah berkata, bayi lelaki yang ditemukan dipercayai dibuang di kawasan semak dekat Kampung Permatang dekat Sitiawan, Sabtu lalu berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Seri Manjung.
Katanya, JKM akan mendapatkan perintah mahkamah dalam masa terdekat bagi membolehkan bayi berkenaan ditempatkan di bawah pusat perlindungan jabatan itu.
"Siasatan kita serah kepada polis, apa kes yang berlaku dan kenapa pembuangan itu berlaku.
"Bagi pihak JKM, kita harus beri perlindungan. Kita daftarkan kanak-kanak tersebut dengan Jabatan Pendaftaran Negara untuk sijil lahir, juga tempatkan di rumah perlindungan selamat di bawah institusi JKM," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang bayi lelaki cukup sifat berbalut dengan kain ditemukan di kawasan semak belakang sebuah surau di Kampung Permatang dekat Sitiawan.
Tangisan bayi itu didengari oleh seorang ahli jawatankuasa surau yang membersihkan kawasan itu sebelum menghubungi polis pada jam 6.54 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!