Permohonan kewarganegaraan selesai dalam setahun mulai 2025 - Saifuddin
SHAH ALAM - Setiap permohonan untuk mendapatkan kewarganegaraan akan mendapat keputusan dalam tempoh satu tahun mulai tahun hadapan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, itu prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan isu kewarganegaraan ditangani dengan efisien.
Menurutnya, ia juga sebahagian komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan hak rakyat terjaga dan terbela.
"Sejak 21 Disember 2022 sehingga 27 November 2024, saya telah selesai membuat pertimbangan sebanyak 32,408 permohonan untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.
"Ada juga permohonan yang telah menunggu lebih daripada lima tahun, Alhamdulillah lebih 80 peratus permohonan ini telah selesai saya pertimbangkan.
"Untuk setiap permohonan kewarganegaraan komitmen keputusan dikeluarkan dalam tempoh setahun dengan SOP yang ditambah baik," katanya menerusi Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, Saifuddin menegaskan Malaysia kekal dengan dasar tidak mengiktiraf pemilikan lebih daripada satu kewarganegaraan.
Saifuddin berkata, sebarang keperluan mengenai pindaan dasar berkenaan akan dibuat sekiranya terdapat keperluan tertentu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!