Persiapan penggunaan e.MAS 7 kenderaan rasmi Persidangan ASEAN peringkat akhir
PUTRAJAYA - Persiapan untuk penggunaan kenderaan elektrik (EV) nasional pertama e.MAS 7 sebagai kenderaan rasmi bagi kegunaan pemimpin semasa Persidangan ASEAN tahun hadapan, kini di peringkat akhir.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Proton e.MAS 7, iaitu EV keluaran Proton Holdings Bhd (Proton) akan menjadi kenderaan rasmi seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
“Kami akan menggunakan e.MAS 7 pada peringkat tertentu, tetapi di peringkat-peringkat lain juga akan menggunakan kebanyakan EV, jenama yang berbeza.
“Sebenarnya kenderaan EV lain juga akan diguna pakai, cuma e.MAS 7 adalah kenderaan yang rasmi. Ada beberapa peringkat seperti peringkat ketua negara, ketua kerajaan, menteri, pegawai dan sebagainya bergantung pada permintaan dan keperluan tertentu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Garis Panduan Peralihan Kenderaan Kerajaan kepada EV, di sini hari ini.
Semalam, Anwar berkata, pemilihan e.MAS 7 sebagai kereta rasmi untuk mesyuarat ASEAN tahun depan menunjukkan sokongan kerajaan terhadap pengeluaran kereta elektrik pertama negara oleh Proton.
Ia juga menunjukkan komitmen negara dalam mempromosikan pembangunan EV, dengan menekankan bahawa ia adalah lanjutan yang boleh dilihat secara langsung daripada komitmen pelepasan karbon sifar bersih negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!