Enam PAWE baru di Perak galak warga emas terus aktif
IPOH - Enam Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) baru akan beroperasi di Perak tahun hadapan bagi menggalakkan lebih ramai warga emas di negeri ini terus aktif dan produktif.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, fasiliti yang disediakan di pusat itu dapat memberi kemudahan untuk mereka menjalankan program dan aktiviti di peringkat komuniti.
Menurutnya, penambahan enam pusat baharu antaranya di Gerik, Lenggong, Beruas dan Sungkai itu menjadikan keseluruhan 18 PAWE telah diwujudkan di Perak membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memberi perkhidmatan kepada warga emas.
"Kewujudan PAWE telah memberi impak positif dalam kita meningkatkan keaktifan warga emas ini. Bahkan ada sebahagian PAWE dapat menjana ekonomi dan pendapatan melalui aktiviti yang mereka lakukan.
"Ini membuktikan warga emas yang produktif, sebenarnya masih boleh menyumbang kepada pembangunan negeri melalui aktiviti yang mereka aturkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sejahtera Warga Emas peringkat Negeri Perak 2024 di sini pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Nor Tipah Majin dan Pengarah Seketariat Pembangunan Wanita Perak, Jamilah Zakaria.
Salbiah berkata, kerajaan negeri sedang berusaha memperluas kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meningkatkan infrastruktur penjagaan seperti pusat jagaan harian, pusat komuniti mesra warga emas dan perkhidmatan sokongan penjaga.
Katanya, antara inisiatif dilakukan adalah dengan menganjurkan bengkel Ekonomi Penjagaan yang menyediakan latihan dan pembangunan kemahiran tenaga kerja dalam bidang penjagaan.
"Bengkel ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh Pelan Perak Sejahtera 2030, di mana Ekonomi Penjagaan dijadikan satu komponen penting dalam meningkatkan kesejahteraan sosial dan ekonomi rakyat.
"Dengan menyokong sektor ini, kerajaan bukan sahaja dapat memastikan rakyat yang memerlukan penjagaan mendapat perkhidmatan terbaik, tetapi membuka ruang untuk menjadikan penjagaan sebagai kerjaya profesional yang dihargai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!