Penduduk bimbang runtuhan tebing Sungai Kelantan masih berlaku di Kampung Pulau Pisang
KOTA BHARU - Masih terdapat pergerakan tanah dan runtuhan baharu yang dikesan berlaku pada Selasa susulan runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pulau Pisang di sini.
Runtuhan terkini selebar kira-kira 0.6 meter itu disedari penduduk, Syed Mohd Syed Jamaludin, 62, pada jam 5.30 petang.
“Semalam saya berdiri dekat kawasan tebing tu, hari ini tebing tersebut dah tak ada, runtuh juga.
“Kejadian pertama tebing ini runtuh pada 30 November lepas, selepas hujan lebat dan banjir gelombang pertama. Sejak itu setiap hari ada runtuhan baharu tak kira siang atau malam, tanah dan juga batu jatuh ke sungai,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kampung berkenaan pada Selasa.
Dia yang bekerja sebagai juru kimpal mengakui tidak lena tidur dan setiap malam akan keluar melihat keadaan runtuhan tebing yang terletak hanya kira-kira 20 meter di hadapan rumahnya.
“Sekitar jam 10 malam, saya akan keluar tengok keadaan tebing ini takut-takut ada lagi menggelongsor ke dalam air.
“Bimbang runtuhan sampai ke rumah saya semasa sedang tidur,” katanya yang turut memberitahu kejadian itu pertama kali berlaku dan seteruk itu.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk yang juga mekanik, Mohd Nazrimi Hanafi, 32, turut melahirkan kebimbangan dengan runtuhan tersebut apabila rumah dan bengkel membaiki kereta miliknya hanya terletak kira-kira 10 meter dari lokasi runtuhan tebing sungai terbabit.
Katanya, setiap malam dia berjaga hingga ke jam 2 pagi kerana rumahnya hanya terpisah dengan sebatang jalan kampung di depan tebing runtuh terbabit.
Mohd Nazrimi juga merupakan individu pertama yang menyedari bencana itu pada jam 12 tengah hari pada 30 November lalu.
Menurutnya, ketika kejadian dia sedang membaiki kereta, sebelum tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat beberapa kali seperti bunyi batu besar jatuh ke dalam air.
“Apabila saya pergi tengok, tebing selebar kira-kira enam meter dan panjang 20 meter telah runtuh manakala pokok jati setinggi 20 meter di tebing ini juga tumbang ke sungai dengan akar pokok merekahkan tanah di tebing,” katanya.
Kedua-dua mereka antara lebih 200 penduduk yang terjejas selain ramai khuatir keadaan semakin akan buruk.
Kawasan terjejas itu turut merisikokan lima rumah dan satu premis kosong dengan teruk kerana terletak betul-betul di tebing sungai itu yang terlalu hampir dengan runtuhan.
Dalam pada itu, tiga sekeluarga yang menyewa di sebuah rumah di kawasan tebing sudah berpindah seminggu lalu dan mengosongkan semua perabot kerana risau kediaman itu runtuh seterusnya hanyutkan air.
“Air laut pasang pada waktu malam menyebabkan ada gelombang dan arus deras menambahkan lagi kerosakan pada struktur tebing.
“Runtuhan akan lebih teruk jika hujan di sebelah hulu Kelantan seperti Gua Musang dan Kuala Krai kerana arus sungai menjadi deras melalui kawasan runtuhan untuk keluar ke laut,” kata Mohd Nazrimi.
Sementara itu, Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur negeri Kelantan, Datuk Dr Izani Husin yang menerima laporan berkait kejadian itu melakukan lawatan ke kawasan terbabit bersama pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Dr Izani memaklumkan, perbincangan turut diadakan bagi mengenal pasti langkah segera yang perlu diambil untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih serius.
“Situasi ini berisiko menyebabkan hakisan yang boleh menjejaskan kediaman penduduk.
“Saya bersama pegawai JPS turun ke lokasi untuk melihat keadaan dan berbincang langkah terbaik, InsyaAllah langkah pembaikian akan dilakukan,” katanya menerusi status yang dimuat naik di Facebook.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!